GUA MUSANG - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan 43 kertas undi pos kepada individu yang berhak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, kesemua kertas undi itu dikeluarkan pada 5 Ogos lepas.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 41 kertas undi pos Kategori 1A dikeluarkan untuk petugas pilihan raya dan anggota polis, manakala dua lagi Kategori 1C untuk agensi dan organisasi.
"Kesemua anggota polis terlibat dalam PRK ini telah dikeluarkan kertas undi pos. Oleh itu, tiada pusat mengundi awal akan dibuka pada Selasa ini," katanya.
Ikmalrudin turut mengingatkan semua pengundi pos supaya menandakan kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2), serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus sebelum pukul 5 petang pada hari mengundi, Sabtu ini.
"Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial," katanya.PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon Pas, Mohd Rizwadi Ismail mewakili PN.
Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan oleh Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Pada Pilihan Raya Negeri Kelantan Ogos tahun lalu, calon BN Ab Aziz Yusoff tewas kepada Mohd Azizi yang bertanding di bawah tiket PAS mewakili PN dengan majoriti 810 undi. - Berna,a