ANA Barbosu tidak meraikan kejayaannya 'merampas' pingat gangsa acara senaman lantai wanita di Olimpik Paris 2024 daripada gimnas Amerika Syarikat (AS), Jordan Chiles seperti yang diumumkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) susulan keputusan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Sebaliknya, Barbosu sedih dan simpati kerana meragut kegembiraan Chiles menerusi hantaran menyentuh hati di Instagram.
Barbosu dan Chiles bertanding dalam acara final senaman lantai pada 5 Ogos lalu.
CAS membatalkan penilaian semula mata Chiles atas alasan rayuan tahap kesukarannya dikemukakan oleh pasukan AS empat saat selepas tempoh akhir peraturan rayuan, iaitu satu minit.
Selepas semakan, markah Chiles memenangi pingat emas berpasukan bersama AS, dinaikkan kepada 13.766 mata, bermakna dia naik dari tempat kelima ke tempat ketiga.
Ia cukup untuk membolehkan dia memperoleh pingat gangsa di belakang Rebeca Andrade (emas) dari Brazil dan bintang gimnastik AS, Simone Biles.
Namun, situasi itu adalah tamparan hebat bagi Barbosu yang menyangka dia memperoleh gangsa dengan 13.700 mata dan meraikan kemenangan dengan mengibarkan bendera Romania.
"Saya harap kamu tabah dan jauh di lubuk hati saya bahawa kita akan berkongsi podium sama pada masa hadapan... ini impian sebenar saya,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Romania, Marcel Ciolacu, menyifatkan keputusan asal yang menyebabkan Barbosu kehilangan pingat gangsa sebagai"situasi yang memalukan" dan mengugut akan memboikot majlis penutup Olimpik.
Gimnastik AS pada Ahad secara rasmi telah mengemukakan bukti tambahan kepada CAS untuk menyokong kesnya bahawa Jordan Chiles harus mengekalkan pingat gangsa yang dimenanginya dalam acara akhir senaman lantai wanita.