GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang ingin berhenti di lorong kecemasan di Jambatan Pulau Pinang pada Ahad.
Dalam kejadian pada jam 6.35 petang itu, mangsa berusia 38 tahun telah melanggar belakang Perodua Alza lalu terpelanting.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana cedera parah pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, kemalangan berlaku di Kilometer 7.4 Jambatan Pulau Pinang dari arah Seberang Jaya ke kawasan pulau.
Menurutnya, kemalangan berlaku ketika Perodua Alza dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun mengubah laluan masuk ke lorong kecemasan untuk menukar pemandu.
"Akibatnya, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Ujar beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang dan akan menjalani proses bedah siasat pada Isnin.
Razlam menambah, siasatan lanjut mendapati, pemandu tersebut mendakwa dia dan rakannya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Pemandu kereta telah ditahan namun diberi jaminan polis setelah prosedur siasatan selesai," tambahnya.