PASIR GUDANG -"Bukan bekas teman lelaki, dia hanya rakan berniaga," tegas Mohd Yusof Mokhtar, 35, suami kepada Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang mayatnya ditemui tidak lengkap pada 31 Disember lalu.
Katanya, pihaknya berharap perkara itu dapat diperbetulkan kerana ia bakal mengundang pelbagai persepsi negatif terhadap arwah isterinya itu.
"Pegawai polis di Ayer Keroh pun ada cakap dengan saya, jangan dengar pihak lain, kes ni saya (pegawai) yang siasat," katanya.
Menurutnya, pegawai polis mengesahkan mereka berjumpa untuk bisnes dan bukan atas tujuan lain.
"Mungkin bila dia minta gelang emas isteri saya tapi tak dapat lalu berlaku pergelutan. Ada kesan pada tangan isteri saya," katanya kepada Sinar Harian yang berkunjung ke rumahnya di Kota Masai, pada Isnin.
Sebelum ini, Cikgu Istiqomah yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3, itu dilaporkan hilang dan tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja sejak 26 Disember lalu.
Sehari kemudian polis mengesahkan menerima laporan kehilangannya dan pada 28 Disember lalu.
Bagaimanapun, pada 12 Ogos 2024, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah mengesahkan mayat tanpa kepala, badan dan tangan yang ditemui dalam tong sampah pada 31 Disember lalu itu adalah milik Istiqomah.
Pasangan suami isteri itu, dikurniakan tiga anak, Naura Auni, 9, Muhammad Naufal Amzar, 6, dan Nayla Aisya, 4.
Bapa Istiqomah, Ahmad Rozi Latimin, 64, pula berkata, kali terakhir dia bercakap dengan anaknya itu adalah selepas mereka sekeluarga bercuti di Morib, Selangor.
Katanya, ketika itu, Istiqomah hanya berkata, jumpa pada hari raya nanti, namun sejak 26 Disember sampailah sekarang barulah dia ditemui.
"Dia kata nak jumpa masa raya, tapi sekarang baru jumpa.
"Tapi itu semua sudah ketentuan ALLAH SWT, saya reda semua semua ni... ALLAH SWT dah tulis.
"Cuma kalau boleh orang yang buat anak saya tu dikenakan hukuman yang setimpal," katanya.
Sementara itu, ibu Allahyarham Istiqomah, Saliha Ya, 58, berharap agar pihak hospital di Melaka dapat mempercepatkan urusan bagi proses untuk menuntut jenazah agar boleh segera dibawa ke Kelantan untuk dikebumikan di Kampung Kubang Badak, Pasir Mas,
"Sejak 26 Disember, baru saya tahu anak saya dah ditemui tapi hanya rangka.
"Jadi, harap pihak hospital dapat percepatkan proses untuk ambil arwah anak saya supaya dapat dikebumikan di Kelantan," katanya.