JSJN tubuh pasukan khas siasat dron seludup dadah dalam penjara

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung cubaan seludup dadah guna dron ke dalam penjara Tapah. Gambar kecil: Khaw Kok Chin

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman akan menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes sindiket menggunakan dron menyeludup dadah ke dalam penjara.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, kes penyeludupan membabitkan dron di penjara bukanlah sesuatu perkara yang baharu.

Iklan
Iklan

"Pada tahun ini sahaja sebanyak tujuh kes penyeludupan dadah menggunakan dron dilaporkan di penjara membabitkan di Kedah, Melaka, Sarawak dan Johor.

"Sindiket ini cuba mengaburi pihak polis dengan menggunakan dron untuk menceroboh ke dalam penjara," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Isnin.

Iklan

Kok Chin berkata, pihaknya akan menyiasat sama ada berlakunya salah laku membabitkan pihak tertentu atau individu.

"Satu pasukan khas terdiri daripada pasukan JSJN telah ditubuhkan untuk membantu siasatan penyeludupan yang berlaku di Penjara Tapah, Perak serta sebelumnya," katanya.

Iklan

Pada Sabtu lalu, media melaporkan cubaan menyeludup dadah ke dalam penjara Tapah digagalkan oleh seorang warden yang ternampak dron itu di atas bumbung penjara.

Selepas memeriksa beg pakaian yang dipasang pada dron itu, warden menemui tiga paket berisi serbuk putih yang dipercayai heroin dan methamphetamine.