Lelaki didakwa bunuh anak pemilik restoran di Sandakan

Iklan
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Sandakan pada Isnin.

SANDAKAN - Seorang lelaki didakwa atas pertuduhan membunuh anak pemilik sebuah restoran terkenal di daerah ini di Mahkamah Majistret Sandakan, di sini, pada Isnin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada Mohamad Zulfaizzie Hanafie Mohd Firdaus, 23, kerana perlu menunggu laporan kimia dan bedah siasat mangsa.

Iklan
Iklan

Tertuduh hanya mengaku faham ketika dibacakan pertuduhan di hadapan Majistret Nur Faezah Jafry.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas telah membunuh Mohammed Noufal Abdul Rasheed, 35, kira-kira jam 5.18 pagi pada 21 Julai hingga 11.30 pagi, 25 Julai lalu.

Iklan

Kejadian itu dilakukan di kawasan semak berhampiran ladang kelapa sawit Jalan Sungai Memanjang, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati atau penjara tidak lebih 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika disabit kesalahan.

Iklan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, tertuduh diarahkan ditahan di bawah reman penjara Seksyen 259 Kanun Tatacara Jenayah.

Sebelum itu, pendakwaan dijalankan Asisten Superintenden Zamri Zakaria manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sinar Harian pada 25 Julai lalu melaporkan penemuan mayat seorang lelaki di kawasan semak berdekatan ladang kelapa sawit dipercayai dibunuh.

Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang sebelum mayatnya ditemui berhampiran sebuah kenderaan yang terbakar.