Industri EV: Kerajaan fokus penyediaan ekosistem lengkap

Iklan
Anthony (empat dari kiri) pada Program ESG Kumpulan Careplus Sempena Pemasyhuran Careplus Mall dan Kilang Pemasangan di Chembong pada Isnin.

REMBAU - Kerajaan akan memberi fokus kepada penyediaan ekosistem yang lengkap dalam pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) di negara ini termasuk tenaga mahir dan prasarana.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, walaupun pasaran EV di negara ini masih terhad berbanding di beberapa negara lain, industri itu berpotensi besar untuk berkembang pada masa hadapan.

Iklan
Iklan

"Memang di Malaysia, kita baru bermula, belum ada anjakan yang besar dan sekarang pembelian EV ini masih pada kadar yang rendah sebab ramai yang teragak-agak adakah mereka hendak membeli kenderaan EV atau enjin pembakaran dalaman (ICE).

"Mereka sedar akan berhadapan dengan pelbagai kekangan jika membeli EV seperti stesen pengecasan, harga jualan dan sebagainya," katanya.

Iklan
Anthony (kanan) melihat beberapa kenderaan elektrik pada program tersebut.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program ESG Kumpulan Careplus Sempena Pemasyhuran Careplus Mall dan Kilang Pemasangan di tapak kilang di Chembong, di sini, pada Isnin.

Anthony berkata, kerajaan kini sedang menangani satu persatu isu itu dengan membantu pihak swasta mempermudahkan dan memperbanyakkan lagi stesen pengecasan, selain menyediakan garis panduan yang jelas daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Iklan

"Ini memang suatu isu yang besar, justeru kerajaan memberi tumpuan untuk memastikan ekosistem EV ini lengkap," katanya.

Anthony (lima dari kanan) melakukan gimik penanaman pokok sebaik selesai perasmian program tersebut.

Ujarnya, seiring dengan galakan untuk syarikat kenderaan tempatan terbabit dalam sektor EV, ia bukan saja dalam soal menyediakan pusat pengecasan yang mencukupi tetapi juga tenaga mahir dalam bidang automatif berkenaan.

"Ketika ini stesen minyak sedang dalam proses transformasi apabila bertindak sebagai pusat pengecasan selain menjual minyak dan akan ada banyak tempat mengecas bateri kereta EV.

"Kita juga memerlukan tenaga mahir dalam bidang automatif ini, selain pemasangan, perlu juga ada yang pakar dalam memperbaiki kereta ini.

"Ia khususnya berkaitan bateri, mekanikal dan sebagainya termasuk aktiviti pelupusan bateri. Semuanya ini memerlukan perancangan yang lebih rapi," katanya.