KUALA NERUS - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah lori yang membuat pusingan U di Jalan Kubur Shariff Gong Badak, di sini pada Isnin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10.25 pagi itu menyebabkan mangsa, Che Muhamamad Faiz Che Mazuki, 26, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa yang merupakan pekerja swasta dalam perjalanan dari arah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Gong Badak menghala ke arah Padang Nenas.
"Semasa sebuah lori jenis Isuzu membuat pusingan U, secara tiba-tiba mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave itu telah melanggar sisi kanan lori tersebut.
"Akibat pelanggaran itu, mangsa telah tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tersebut tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Azli berkata, ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori berkenaan adalah negatif.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujar beliau.