Empat lagi suspek kes culik dekat plaza tol diburu

Iklan
Hussein (dua dari kiri) menunjukkan wang tunai yang dirampas daripada kes penculikan seorang lelaki warga China dan seorang wanita tempatan berhampiran Plaza Tol Lebuharaya Maju, berhampiran Cyberjaya pada 11 Julai lalu. Foto Sinar Harian/HISYAMUDDIN AYUB.

SEPANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat buru empat lagi suspek kes culik seorang lelaki warga China dan seorang wanita tempatan berhampiran Plaza Tol Lebuharaya Maju, berhampiran Cyberjaya pada 11 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, empat yang diburu itu merupakan sebahagian daripada 18 ahli kumpulan yang bertindak merancang dan menculik kedua-dua mangsa.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, empat suspek warga tempatan yang diburu itu merupakan tiga lelaki dan seorang wanita.

Jelas beliau, kesemua yang diburu polis itu masih berada dalam negara.

Iklan

Menurut beliau, pihak polis sebelum ini berjaya menembak mati empat suspek dalam insiden berbalas tembakan semasa operasi di Skudai, Johor pada tengah malam 1 Ogos lalu.

Kata beliau, selain empat ditembak mati, pihak polis turut menangkap 10 lagi suspek dalam beberapa operasi dilakukan sebelum ini, bermula 1 Ogos lalu.

Iklan

"Dalam beberapa siri serbuan dilakukan, pihak polis berjaya merampas kembali wang tunai berjumlah RM1.65 juta yang dijadikan sebagai duit tebusan.

"Selain itu, polis turut merampas barangan yang telah dibeli oleh ahli kumpulan penjenayah berupa enam utas jam tangan mewah, enam buah beg tangan, enam buah telefon bimbit serta satu utas loket emas.

"Polis juga merampas tujuh buah kenderaan yang dibeli menggunakan wang tebusan dan digunakan semasa penculikan serta proses mengeluarkan duit dalam bentuk mata wang kripto," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Nilai keseluruhan barangan rampasan dianggarkan berjumlah RM3.1 juta, manakala wang tebusan dibayar menerusi mata wang kripto melebihi RM5 juta.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, kumpulan penjenayah seramai 18 orang itu mempunyai peranan masing-masing dalam kes penculikan tersebut.

Katanya, tugas itu membabitkan perancang utama, perancang proses penculikan, menukar duit tebusan daripada bentuk mata wang kripto kepada wang tunai serta menjaga mangsa culik.

Menurutnya, kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Tambahnya, perancang utama penculikan telah ditangkap dan ada juga telah ditembak mati.

Jelasnya lagi, seorang perancang penculikan yang berjaya ditembak mati adalah pemandu kepada mangsa culik dari China.

"Kita percaya duit baki tebusan masih ada pada empat suspek yang diburu.

"Ini berdasarkan maklumat bahawa duit tebusan penculikan telah dibahagi kepada 18 orang yang terlibat," ujarnya.