KEMAMAN - Pasukan penyelamat belum menemui sebarang petunjuk keberadaan dua pemancing yang masih hilang dalam tragedi bot karam melibatkan bot nelayan dan sebuah tongkang di perairan Kemaman di sini.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata, pihaknya akan menggandakan usaha bagi mengesan dua lagi mangsa yang hilang termasuk di lokasi bot karam.
"Setakat ini kita belum menemukan petunjuk mangsa yang hilang dan kita sedaya upaya akan mencari cara terbaik untuk mengesan dua lagi mangsa yang belum dijumpai.
"Untuk pencarian petang ini kita akan gunakan unit udara untuk membuat tinjauan di lokasi kejadian dan kita juga akan buat penilaian di lokasi bot dipercayai karam," katanya ketika ditemui di pusat kawalan operasi Zon Maritim Kemaman di sini pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, Azman berkata, pihaknya akan menilai kesesuaian untuk meneruskan operasi menggunakan pasukan penyelam memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang.
"Air laut masih lagi tinggi dan berlaku hujan renyai. Kita tengok keadaan, jika berisiko kepada pasukan penyelamat kita akan tangguhkan sementara.
"Kalau sesuai kita akan buat perancangan untuk selaman. Perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya akan menggerakkan balai bomba dan penyelamat (BBP) berhampiran iaitu BBP Chukai dan Kijal bagi pencarian mangsa di kawasan pesisir pantai.
"Untuk pencarian di kawasan pesisir pantai pula kita akan usahakan meliputi radius kawasan yang terlibat," katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan dua mangsa ditemukan lemas manakala dua lagi masih hilang apabila bot dinaiki sembilan penumpang termasuk dua tekong karam dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi Ahad.
Bot dinaiki pemancing berasal dari Raub, Pahang dan Selayang, Selangor itu dikatakan dilanggar sebuah tongkang pada jarak tujuh batu nautika dari perairan Kuala Kemaman.
Kejadian itu disedari sekumpulan nelayan sebelum membawa mangsa terselamat ke daratan kira-kira jam 8 pagi.
INFO PENTING:
- Lokasi Karam: Perairan Kemaman, kira-kira tujuh batu nautika dari Kuala Kemaman.
- Kejadian: Bot nelayan dilanggar sebuah tongkang pada jam 6.30 pagi Ahad, menyebabkan bot karam.
- Mangsa: Dari sembilan penumpang, dua ditemukan lemas dan dua masih hilang.
- Usaha Pencarian:
Pihak berkuasa, termasuk Ketua Zon 2 JBPM Terengganu, Azman Alias, menggandakan usaha pencarian dengan fokus pada lokasi karam.
Menggunakan unit udara untuk tinjauan dan akan menilai kesesuaian operasi selaman bergantung kepada cuaca.
BBP Chukai dan Kijal dikerah untuk mencari di pesisir pantai.
- Cuaca: Air laut tinggi dan hujan renyai mempengaruhi operasi pencarian.