SEPANG - Polis mengesahkan remaja perempuan berusia 14 tahun yang menyamar sebagai doktor ditahan baru-baru ini pernah mendapat rawatan psikiatri di sebuah hospital pada Mac lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, remaja itu bagaimanapun didapati tidak membuat rawatan susulan dan ia menyebabkan fikiran dan emosinya terganggu.
Beliau berkata, perkara itu disahkan oleh keluarga remaja itu semasa soal siasat dilakukan oleh pihak polis.
"Kita akan dapatkan laporan penuh rekod rawatan psikiatri itu daripada pihak hospital.
"Hasil siasatan yang dijalankan juga mendapati remaja tersebut sudah meninggalkan alam persekolahan," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, remaja itu akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi sesi kaunseling dan selepas itu kertas siasatan diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya.
Ditanya tempoh remaja itu 'bertugas' di hospital, katanya, siasatan mendapati remaja itu didapati keluar masuk ke kawasan Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang selama seminggu.
Bagaimanapun Hussein tidak dapat mengulas lanjut sama ada melibatkan kecuaian pihak hospital atau pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
"Kita masih bincang dengan pihak hospital terutama bagi mengetatkan prosedur keluar masuk ke hospital itu terutama di kawasan-kawasan sensitif," ujarnya.
Hussein juga berkata, beliau bukan pakar untuk mengesahkan sama ada remaja itu menghidapi kecelaruan identiti.
"Saya bukan pakar untuk kata (sahkan) perkara itu. Jangan buat andaian sendiri.
"Kita serah kepada pihak yang pakar untuk mengetahui apa masalah remaja itu sehingga bertindak demikian," katanya.
Menurutnya, JKM juga akan memutuskan sama ada remaja itu akan diletakkan di bawah agensi itu atau terus berada di bawah jagaan ibunya.
Sebelum ini, remaja warga tempatan itu ditahan di lobi HSIS Serdang kerana menceroboh dewan bedah dan menyamar menjadi doktor.
Polis turut merampas baju dan seluar scrub serta lanyard hak milik hospital.
Keadaan tubuh badan remaja itu yang lebih besar berbanding usia sebenar memudahkan suspek melakukan penyamaran.