KKM tidak tolak ansur sebarang unsur eksklusiviti, pakatan harga ubat-ubatan

Iklan
KKM tidak akan bertolak ansur dengan sebarang unsur eksklusiviti, pakatan harga, anti-persaingan atau apa-apa amalan yang menyumbang kepada peningkatan kos perolehan ubat-ubatan. Gambar hiasan 123rf

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan bertolak ansur dengan sebarang unsur eksklusiviti, pakatan harga, anti-persaingan atau apa-apa amalan yang menyumbang kepada peningkatan kos perolehan ubat-ubatan.

Ujar kementerian itu, pihaknya memandang serius amalan sesetengah syarikat pengeluar dan pembekal farmaseutikal yang menawarkan harga produk lebih tinggi kepada kerajaan.

Iklan
Iklan

Ia berbanding harga kepada pihak swasta bagi sesetengah produk ubat terutamanya pemegang pendaftaran tunggal sama ada paten ataupun generik yang berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"KKM telah mengorak langkah meneliti dan mengkaji semula dasar dan proses perolehan produk farmaseutikal dan peralatan perubatan yang menekankan kepada sistem tatakelola dengan mengambil kira prinsip ketelusan, memudahcara perniagaan, persaingan secara adil dan nilai pulangan terbaik dalam perolehan kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Justeru jelas KKM, penambahbaikan secara berfasa sedang dilaksanakan ke atas dasar dan proses perolehan KKM.

"Fasa pertama ialah pengurangan karenah birokrasi permohonan kelulusan daripada agensi-agensi KKM," katanya.

Iklan

Fasa kedua pula melibatkan penambahbaikan proses perolehan termasuk hak kerajaan untuk berunding semula harga dan pembekalan produk alternatif yang lebih murah berbanding produk kontrak dalam keadaan tertentu dengan syarikat memenangi tender.

Ia termasuklah penggiliran pegawai termasuk pegawai teknikal yang terlibat dalam proses perolehan serta kehadiran pegawai Unit Integriti sebagai pemerhati dalam Lembaga Perolehan.

"KKM menyambut baik dan menyokong aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan fokus kerajaan bagi Bajet 2025 adalah untuk menangani dan mengurangkan kos sara hidup rakyat yang disebabkan antara lain masalah ketirisan, rasuah, kartel dan monopoli," jelasnya.

Tambah KKM, kementerian itu bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik pada kos berpatutan kepada rakyat.

"Ini hanya dapat dicapai sekiranya harga perolehan produk farmaseutikal dan peralatan perubatan adalah munasabah.

"Peruntukan perbelanjaan produk farmaseutikal oleh KKM adalah dalam lingkungan RM5 hingga RM6 bilion setahun," katanya.