Terengganu terima tamparan awal, Sarawak langkah kiri di laman sendiri

Iklan
Terengganu tumpas 0-1 kepada Johor pada aksi pembukaan Kumpulan B saingan bola sepak lelaki Sukma 2024 di Stadium Zaidi Adruce, Sibu pada Isnin. Foto Sukma Sarawak

JUARA bertahan Terengganu menerima tamparan awal selepas tumpas 0-1 kepada Johor pada aksi pembukaan Kumpulan B saingan bola sepak lelaki Sukan Malaysia (Sukma) 2024 yang berlangsung di Stadium Zaidi Adruce di Sibu pada Isnin.

Ketua pasukan Johor, Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-61 sekali gus memberikan permulaan sempurna buat skuad bimbingan Gonzalo Sanz Zaballos menjelang aksi terakhir menentang Sabah Rabu ini.

Iklan
Iklan

Kekalahan itu meletakkan Terengganu yang dibimbing Subri Sulong dalam bahaya dan berdepan misi wajib menang untuk mara ke pusingan kalah mati ketika berdepan Sabah dalam perlawanan terakhir Jumaat ini.

Dalam pada itu, Wilayah Persekutuan menang tipis ke atas Pahang 1-0 meskipun menguasai permainan pada pertembungan Kumpulan D di Stadium Mukah.

Iklan
Juara dua kali Selangor menundukkan Negeri Sembilan 2-0 pada perlawanan Kumpulan A di Stadium Azman Hashim, Sibu. Foto Sukma Sarawak

Jaringan kemenangan skuad bimbingan Mohd Nidzamadzka Yusoff itu dicipta penyerang Abdul Afiq Hilman Abdul Halim pada minit ke-54.

Pada masa sama, kelebihan beraksi di halaman sendiri gagal digunakan Sarawak apabila tewas 0-1 di tangan juara empat kali Perak pada satu lagi aksi Kumpulan D di Padang Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM).

Iklan

Sementara itu, naib juara edisi lepas, Pulau Pinang dan Melaka masing-masing terpaksa berpuas hati membawa pulang satu mata selepas terikat tanpa jaringan pada aksi Kumpulan C di Stadium Bintulu.

Dalam saingan Kumpulan A pula, juara dua kali Selangor menundukkan Negeri Sembilan 2-0 pada perlawanan Kumpulan A di Stadium Azman Hashim, Sibu.

Saingan bola sepak lelaki yang merupakan acara terawal membuka tirai bermula hari ini hingga 24 Ogos depan. - Bernama