Berpisah dengan anak selepas kematian suami akibat Covid-19

Iklan
Foong Yee ketika menerima kunjungan Ismail Sabri di rumahnya di sini pada Isnin.

ALOR SETAR - Kepayahan hidup selepas kematian suami akibat Covid-19 tiga tahun lalu memaksa seorang ibu tunggal berpisah dengan anak sulungnya.

Choy Foong Yee, 32, berkata, anak sulungnya yang berusia 7 tahun terpaksa diserahkan kepada ibunya di Kuala Lumpur kerana kesempitan wang selain tidak mampu menjaga dua orang anak yang masih kecil.

Iklan
Iklan

Katanya, selepas suaminya meninggal dunia pada 24 Julai 2021 dia mendapat tawaran kerja sebagai kerani di sebuah bank di Alor Setar.

"Ketika itu saya tidak mampu berulang alik untuk hantar anak ke taska dan juga hantar anak sulung saya ke sekolah. Sebab itu saya ambil keputusan hantar anak sulung untuk dijaga oleh ibu manakala anak bongsu saya yang kini berusia 5 tahun bersama saya.

Iklan

"Memang saya akui hidup saya agak sukar, banyak komitmen yang perlu saya bayar, saya harap akan dapat jaga anak saya semula selepas ini apabila keadaan sudah mengizinkan," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) di rumahnya di Mergong di sini pada Isnin.

Sumbangan itu disampaikan oleh bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Iklan

Menurutnya, bantuan yang diterima akan digunakan sebaik mungkin untuk persekolahan anak-anaknya.

"Saya sangat terharu dan berterima kasih kepada YKM kerana prihatin dengan nasib saya dan anak-anaknya," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan sedia memberikan komitmen untuk menyalurkan peruntukan tahunan sebanyak RM5 juta bagi membantu YKM membela nasib lebih 6,000 anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 di seluruh negara.

"Sehingga kini yayasan ini telah menyalurkan bantuan sebanyak RM1.5 juta kepada hampir 1,000 penerima daripada golongan terlibat," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri turut menziarah keluarga seorang bekas tentera yang kehilangan isteri, Hasrol Hadi, 50,yang terpaksa membesarkan dua anaknya yang masih belajar di sini.

Ismail Sabri berkata program itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membela nasib anak yatim akibat pandemik Covid-19.

"Tetapi kita memberi bantuan berdasarkan pendapatan penjaga mereka kerana ada yang datang dari keluarga miskin, yatim piatu yang dijaga nenek mereka. Kita mengambil kira untuk kategori mereka yang boleh terima bantuan ini.

"Kita periksa juga kerana ada yang sudah menerima bantuan lain seperti JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) atau zakat, kita tidak mahu ada pertindihan. Kita memberi bantuan kepada mereka yang belum menerima apa-apa bantuan daripada mana-mana agensi.

"YKM akan membantu anak-anak ini bukan sahaja sekarang tetapi sehingga mereka berusia 18 tahun. Atau kalau mereka meneruskan pengajian di IPT (institusi pengajian tinggi) kita akan menjaga mereka sehingga mereka tamat pengajian di IPT,” jelasnya.