Tiga pemancing dari Kelantan sapu bersih JJPT

Iklan
Sharudin (kanan) bersama pemenang Pertandingan Memancing Cuti-Cuti Malaysia JJPT yang berlangsung di Pantai Senok pada Ahad.

KOTA BHARU - Tiga pemancing dari Kelantan menyapu tempat teratas pertandingan memancing Cuti-Cuti Malaysia Jelajah Joran Pantai Timur (JJPT) anjuran West Coast Surfcaster (WCS) di Pantai Senok, di sini pada Ahad.

Juara pertandingan itu disandang oleh Mohd Rosdi Che Mat Hassan Yang menjinakkan ikan kerapu seberat 1.284 kilogram (kg), manakala Muhammad Fariz Hafiz Rosli yang menaikkan ikan pari 1.282 menduduki tempat kedua.

Iklan
Iklan

Seorang lagi pemancing, Ahmad Rosdi Ismail, yang menaikkan ikan gerut-gerut seberat 0.843kg berpuas hati di tempat ketiga.

Dengan kemenangan itu, Mohd Rosdi membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000, Muhammad Fariz Hafiz menerima RM2,000 manakala Ahmad Rosdi berpuas hati dengan RM1,000.

Iklan

Hadiah kepada semua pemenang telah disampaikan Setiausaha WCS, Sharudin Adnan.

Pemandangan kawasan memancing Pantai Senok.

Mohd Rosdi berkata, dia langsung tidak menyangka ikan kerapu yang dipancing pada jam 11.07 pagi, mampu menewaskan lebih 400 peserta lain dalam pertandingan itu.

Iklan

"Biasanya di Pantai Senok ini, ikan pari akan muncul juara. Saya tidak meletakkan harapan tinggi apabila menjinakkan ikan kerapu ini. Keyakinan saya hanyalah akan dapat ranking. Tapi alhamdulillah rezeki tidak salah alamat. Syukur alhamdulillah saya diberikan rezeki RM12,000 hari ini (Ahad),’’ katanya.

Ini merupakan siri kedua JJPT yang dianjurkan dengan sokongan Tourism Malaysia dan siri pertama telah dianjurkan di Pantai Mangkuk, Rhu Sepuluh pada awal Julai lalu.

Sementara itu, Sharudin berkata, pihaknya akan berusaha untuk menganjurkan satu lagi siri JJPT di Pahang, hujung tahun ini.

"Pihak kelab akan mengusulkan satu lagi siri JJPT di Pahang. Bagaimanapun tarikh dan lokasinya masih belum diputuskan berikutan terdapat beberapa pantai yang berpotensi di Pahang untuk dijadikan lokasi,” katanya.