Toleransi, bukan normalisasi pluralisme agama

Iklan
Foto hiasan

MALAYSIA sebuah negara berbilang kaum, bangsa, dan agama. Memasyarakatkan sikap saling hormat menghormati setiap adat dan tradisi rakyat Malaysia yang ada adalah kunci kepada keharmonian antara kaum di Malaysia.

Tetapi, di dalam usaha menegakkan sikap terpuji ini, sebagai seorang Islam yang berpegang dengan rukun dan prinsip keislaman yang dianuti, perlunya ada batas yang jelas yang tidak boleh dilanggar.

Perlu diletakkan sebuah garisan halus antara toleransi dan pluralisme.

Iklan
Iklan

Toleransi bukan bermaksud menerima bulat-bulat bahkan ia sebuah perasaan yang timbul dari sikap saling hormat menghormati dan dasar menegakkan keterbukaan dalam kalangan masyarakat atau entiti sosial.

Ia juga membawa konotasi mempelajari sesuatu daripada perbezaan individu, atau di dalam konteks ini, perbezaan dengan agama yang lain serta mempelajari gaya hidup dan tradisi mereka.

Iklan

Toleransi perlu ada hadnya kerana jika terlebih, ia akan melahirkan pelbagai permasalahan di dalam masyarakat; antaranya fahaman pluralisme agama.

Pluralisme agama boleh difahami sebagai sebuah usaha menyamaratakan setiap agama yang ada, dengan mengakui kesamarataan dan kesaksamaan semua agama.

Iklan

Dalam erti kata lain, ia sebuah gerakan yang menerima bahawa semua agama adalah benar dan mempunyai persamaan serta mengakui bahawa semua agama akan membawa penganutnya ke syurga.

Perlu difahami bahawa meskipun Islam sebuah agama yang mengangkat nilai rahmat kepada seluruh alam (rahmatan lil-‘alamin), tetapi sifat rahmat itu ada tafsiran dan takwilannya yang tersendiri.

Islam juga sebuah agama yang bersifat holistik dan universal yang mana padanya telah diletakkan sebuah batu asas yang jelas dalam permasalahan beragama.

Surah al-Kaafirun diturunkan kerana kaum kafir Quraisy di Mekah mendakwa agama yang dibawa oleh Nabi SAW adalah sama sahaja dengan agama mereka yang menyembah berhala-berhala.

Apabila baginda ditawarkan harta yang lumayan, pilihan mana-mana wanita yang diingini untuk dikahwini dan juga kekuasaan politik dan kepemimpinan, dengan gadaian sama ada dihentikan dakwah Islam atau dibuat penggiliran beragama, maka Allah SWT memberikan sebuah jawapan yang jelas lagi tegas:

"Katakanlah (wahai Muhammad):"Hai orang-orang kafir! (1) Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.(2) Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. (3) Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. (4) Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. (5) Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku. (6)”

Melalui 6 ayat Surah al-Kaafirun, dapat difahami bahawa Allah SWT tidak menghalang toleransi di dalam beragama, tetapi Allah SWT sesekali tidak membenarkan adanya usaha menyamaratakan antara agama.

Konklusinya, setiap entiti masyarakat perlu jelas bahawa toleransi bukan jalan menghidupkan pluralisme agama bahkan ia sebuah dasar keharmonian antara masyarakat tanpa melibatkan penerimaan dan kesamarataan dari sudut agama.

Menormalisasikan pemahaman sebegini dalam masyarakat sama ada melalui gerakan-gerakan pro kerajaan, NGO, autoriti agama negeri atau sebagainya adalah sebuah langkah yang berbahaya, bertentangan dengan ajaran agama serta perlu dihentikan dengan segera, demi kemurnian dan kesucian agama Islam.

* Mohammad Baihaqi Md Yusnan ialah pensyarah di Kulliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).