Hati-hati 'nasihat songsang' pempengaruh

Iklan
Foto hiasan

SEBELUM ini tercetusnya isu terdapat ramai anak muda terutama pelajar lepasan sekolah tidak mahu meneruskan pengajian di peringkat tertinggi sebaliknya bekerja di usia muda bagi meraih duit poket.

Ada yang mengatakan lebih baik bekerja di usia muda dengan menyimpan duit terlebih dahulu sebelum melanjutkan pengajian kerana duit dianggap lebih penting pada masa kini berbanding ilmu.

Iklan
Iklan

Terdapat golongan anak muda yang terpengaruh untuk tidak menyambung pelajaran kerana wujudnya 'nasihat' segelintir pempengaruh media sosial yang mendakwa tanpa sebarang kelulusan pun seseorang itu boleh berjaya.

Malah dengan kerjaya sebagai pempengaruh di media sosial boleh menjana puluhan ribu ringgit tanpa perlu kelulusan yang tinggi.

Iklan

Hanya sekadar membuat ulasan produk boleh menjana pendapatan yang lumayan menyebabkan anak muda merasakan bahawa tidak perlu bersusah payah untuk melanjutkan pengajian selama bertahun-tahun dan perlu menanggung hutang yang banyak sebaik sahaja menamatkan pengajian.

Persepsi anak muda yang tidak peduli tentang masa depan kerana merasakan pendidikan atau mendapat ijazah belum tentu menjamin kehidupan perlu ditangani secara serius kerana ia akan memberi kesan dalam melahirkan generasi yang berkualiti dan berilmu pada masa akan datang.

Iklan

Ini secara tidak langsung merugikan negara dari sudut keperluan tenaga kerja bagi sektor tertentu.

Justeru, peranan semua pihak seperti kerajaan, guru, ibu bapa, orang awam amat penting dalam memastikan anak-anak muda ini tidak mengabaikan pelajaran.

Kerajaan juga perlu menggalakkan pelajar yang kurang cemerlang untuk memilih aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama untuk melanjutkan pelajaran.

Ini kerana TVET dilihat sesuai untuk pelajar kurang cemerlang dalam peperiksaan kerana ia menyediakan 70 peratus latihan di bengkel serta makmal manakala bakinya pembelajaran dalam kelas.

Oleh itu, tawaran melanjutkan pendidikan berkaitan bidang TVET tersebut perlu diperluaskan di peringkat institusi pendidikan bagi membolehkan pelajar yang berminat serta golongan yang kurang cemerlang untuk memilih jurusan berkenaan.

Sementara itu, anak muda pula boleh meneroka bidang-bidang yang mempunyai permintaan pekerjaan yang tinggi sebagai contoh kecerdasan buatan (AI), pembangunan perisian sains komputer dan analisis data.

Pengajian tersebut merupakan bidang yang sedang berkembang pesat dan mempunyai permintaan tinggi di pasaran pekerjaan seiring dengan kecanggihan teknologi masa kini.

Susulan itu, pelajar ketika ini perlu bijak memilih bidang yang ditawarkan untuk meneruskan pengajian sebagai contoh memilih bidang teknologi, mereka dapat memperoleh kemahiran yang relevan dan berkualiti untuk memenuhi tuntutan pasaran pekerjaan masa hadapan.

Hal ini dapat membantu mengurangkan risiko pengangguran selepas tamat pengajian selain menangkis stigma bahawa pendidikan dilihat tidak lagi dapat menjamin pekerjaan, malah lambakan graduan yang bekerja di luar bidang pengajian.

Berbalik kepada 'nasihat songsang', masyarakat dan juga golongan pempengaruh sewajarnya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengubah persepsi anak muda supaya mementingkan mencari wang pada usia muda berbanding pendidikan.

Selain itu, menjadi pempengaruh juga memerlukan ilmu dan pengetahuan kerana jika seseorang itu tidak mempunyai ilmu dikhuatiri mampu menyesatkan orang lain dengan kenyataan tidak sahih dan palsu.

Ini menunjukkan kelayakan akademik merupakan indikator penting untuk menunjukkan seseorang itu mempunyai pendidikan formal selain diyakini dari segi kredibiliti menerusi pengetahuan serta kemahiran dimiliki.

Tindakan menghina dan merendahkan golongan yang menuntut ilmu untuk mendapatkan diploma dan ijazah sewajarnya tidak berlaku kerana pada hakikatnya kelayakan akademik merupakan penentu terhadap kenaikan gaji dalam sesuatu bidang pekerjaan yang diceburi.

Tidak rugi untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi kerana selain meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran diri malah ia dapat dapat memberi contoh yang baik kepada masyarakat untuk memartabatkan ilmu sebagai panduan dalam kehidupan.

* Nurfardlina Izzati Moktar ialah wartawan Sinar Harian Terengganu