Misi buru pingat emas Olimpik diteruskan

Iklan
Badminton sekali lagi menjadi gelanggang yang menghadirkan pingat buat Malaysia menerusi pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia.

MALAYSIA menamatkan cabaran Sukan Olimpik Paris 2024 di tempat ke-80 bersama Albania, Grenada dan Puerto Rico selepas meraih dua pingat gangsa, tanpa kilauan emas yang diidam-idamkan selama ini.

Badminton sekali lagi menjadi gelanggang yang menghadirkan pingat buat Malaysia menerusi pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia.

Iklan
Iklan

Pencapaian terbaik Malaysia ialah pada Sukan Olimpik Rio 2016 dengan kutipan empat perak dan satu gangsa, sementara di Tokyo 2020 (0-1-1), London 2012 (0-1-1), Beijing 2008 (0-1-0), Atlanta 1996 (0-1-1) dan Barcelona 1992 (0-0-1), dengan majoriti pingat disumbangkan sukan badminton.

Lee Zii Jia menerima pingat gangsa dalam acara badminton perseorangan lelaki Sukan Olimpik Paris 2024. Foto Bernama

Kontinjen negara pulang dengan tangan kosong bagi semua edisi lain untuk kutipan keseluruhan lapan perak dan tujuh gangsa sejak penyertaan pertama di Melbourne 1956. Malaysia memboikot edisi Moscow 1980.

Iklan

Di Paris 2024, Malaysia yang diwakili 26 atlet daripada sembilan jenis sukan telah mempamerkan keazaman yang tinggi dengan memecahkan tiga rekod kebangsaan selain lima atlet berjaya mengatasi catatan peribadi.

Mohd Azizulhasni

Tiga rekod kebangsaan itu diperbaharui oleh atlet angkat berat Mohamad Aniq Kasdan dalam acara 61kg lelaki serta pelumba berbasikal trek, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, masing-masing dalam acara pecut lelaki dan wanita.

Iklan

Pada Olimpik Paris 2024 yang berlangsung secara rasmi dari 26 Julai hingga 11 Ogos itu, empat negara berjaya meraih pingat emas sulung mereka, namun Malaysia yang membelanjakan jutaan ringgit sebagai persediaan ke temasya berkenaan termasuk melalui program Road to Gold (RTG) masih menantikan kilauan emas pertamanya.

Pelari Botswana Letsile Tebogo mencipta kejutan di Stade de France dalam acara 200m lelaki, Julien Alfred meraih gelaran 100m wanita untuk pingat emas pertama Saint Lucia, Thea LaFond menggondol emas lompat kijang wanita untuk Dominica dan penembak Adriana Ruano Oliva memperoleh emas pertama Guatemala.

Dalam pada itu, negara jiran Asia Tenggara, Filipina menggondol dua emas dan dua gangsa, Indonesia (dua emas dan satu gangsa), Thailand (satu emas, tiga perak dan dua gangsa).

Malangnya, emas yang ditunggu-tunggu Malaysia masih jauh daripada genggaman dengan tiada seorang atlet pun hampir untuk saingan emas kali ini seperti yang berlaku di Rio 2016 apabila tiga wakil negara mara ke final badminton manakala Mohd Azizulhasni terlepas pingat emas acara keirin di Tokyo 2020.

Bagi Malaysia, badminton terus menjadi sukan paling berjaya dan berwibawa apabila tiga wakil negara mara ke separuh akhir meskipun tidak dapat melakar kemenangan walaupun mempamerkan persembahan yang menakjubkan.

Beregu lelaki badminton negara, Aaron-Wooi Yik menunjukkan pingat gangsa pada majlis penyampaian pingat dalam acara badminton pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Arena Porte De La Chapelle. Foto Bernama

Aaron-Wooi Yik yang tiba di Paris sebagai juara dunia 2022 serta pemenang pingat gangsa pada edisi sebelumnya, telah menamatkan tiga kekalahan berturut-turut mereka kepada Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India dan mara ke separuh akhir, namun tidak mampu mengalahkan ‘Tembok Besar' China Liang Wei Keng-Wang Chang.

Zii Jia, dalam misi memburu emas juga berada di landasan yang betul dengan menyingkirkan pemain tuan rumah Toma Junior Popov dan Anders Antonsen dari Denmark pada peringkat kalah mati, tetapi tewas kepada juara dunia 2023, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand pada aksi separuh akhir.

Beregu wanita badminton negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan sebak selepas tewas kepada beregu wanita Jepun Nami Matsuyama dan Shiharu Shida bagi perebutan pingat gangsa acara badminton Sukan Olimpik Paris 2024. Foto Bernama

Pearly Tan-M Thinaah juga mempamerkan semangat juang tinggi untuk mengharungi 'kumpulan maut' bersama pilihan utama yang akhirnya bergelar juara Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara (Jepun) dan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti (Indonesia) dan menjadi pasangan beregu wanita pertama negara mara ke peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, kekalahan kepada juara dunia empat kali Qing Chen-Yi Fan pada aksi separuh akhir dan Nami Matsuyama-Chiharu Shida menamatkan harapan pingat mereka.

Selain itu, pasangan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempamerkan aksi cemerlang untuk memenangi semua perlawanan kumpulan mereka termasuk ke atas pemain nombor satu dunia Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, namun tidak mampu melepasi saingan suku akhir setelah tewas kepada pasangan Korea Selatan Kim Won Ho-Jeong Na Eun, yang akhirnya merangkul pingat perak.

Sementara itu, kempen Olimpik terakhir sandaran emas negara, Mohd Azizulhasni berakhir duka selepas tersingkir awal dalam acara kegemarannya susulan tindakan juara dunia keirin 2017 itu memintas ‘derny’ (motosikal elektrik yang bertindak sebagai pacer) sebelum motosikal itu meninggalkan trek.

Selepas ketiadaan 'Pocket Rocketman', Muhammad Shah Firdaus Sahrom memikul harapan untuk Malaysia dengan mara ke pusingan akhir, namun pelanggaran dengan pelumba Jepun, Shinji Nakano hanya beberapa meter dari garisan penamat, memusnahkan harapannya.

Muhammad Shah Firdaus terlibat dalam perlanggaran ketika beraksi acara basikal trek keirin lelaki peringkat akhir pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Saint-Quentin-en Yvelines National Velodrome. Foto Bernama

Muhammad Shah Firdaus bangkit dan menolak basikalnya ke garisan penamat untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat, namun dia diturunkan ke tempat keenam kerana melencong ke laluan pelumba Jepun itu sebelum kemalangan.

Pelumba berbasikal wanita meningkat naik, Nurul Izzah Izzati pula dilihat mampu menjadi sandaran pada Sukan Los Angeles 2028 (LA28) menerusi persembahannya dalam acara keirin dan pecut wanita, walaupun tidak melangkah jauh pada edisi kali ini.

Mohamad Aniq ketika beraksi dalam acara angkat berat lelaki kategori 61kg pada Sukan Olimpik Paris 2024. Foto Bernama

Atlet angkat berat, Mohamad Aniq hampir mencipta sejarah sebagai pemenang pingat pertama Malaysia dalam sukan itu tetapi kehilangan gangsa dengan perbezaan hanya satu kilogram walaupun mencatatkan rekod kebangsaan dengan mengangkat 297kg (130kg dalam acara snatch dan 167kg dalam clean & jerk).

Nur Dhabitah pada acara separuh akhir 3 meter papan anjal Wanita pada Sukan Olimpik Paris 2024. Foto Bernama

Skuad terjun pula kembali daripada Sukan Olimpik dengan tangan kosong buat kali kedua berturut-turut selepas Nur Dhabitah Sabri menduduki tempat ke-12 dalam acara 3m papan anjal wanita manakala kempen pertama Bertrand Rhodit Lises berakhir dengan kekecewaan selepas menduduki tempat ke-25 daripada 26 peserta dalam saingan awal.

Syaqiera ketika beraksi dalam acara memanah pada Sukan Olimpik Paris 2024. Foto Bernama


Nurul Azreena ketika beraksi dalam acara memanah individu wanita pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Esplanade Des Invalides. Foto Bernama

Trio memanah recurve wanita negara, Syaqiera Mashayikh, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dan Nurul Azreena Mohamad Fazil yang mempamerkan aksi cukup baik walaupun tersingkir pada pusingan awal, memerlukan lebih banyak pengalaman dan latihan untuk bersaing dengan atlet terbaik dunia.

Dalam acara 100m lelaki, pelari pecut Muhammad Azeem Mohd Fahmi tersingkir pada pusingan pertama dengan catatan 10.45 saat (s), jauh di bawah rekod kebangsaannya 10.09s, manakala perenang Khiew Hoe Yean (400m gaya bebas lelaki) dan Tan Rouxin (100m kuak dada wanita) tersingkir dalam saringan, sementara pelumba jalan raya Nur Aisyah Mohamad Zubir tidak dapat menamatkan perlumbaan.

Muhd Azeem ketika beraksi dalam acara 100 Meter Lelaki pusingan pertama pada Sukan Olimpik Paris 2024. Foto Bernama

Pemain golf, Gavin Green (acara individu lelaki) dan Ashley Lau (individu wanita) masing-masing menduduki tempat ke-33 dan ke-55; pelayar Khairulnizam Mohd Afendy (ILCA 7) dan Nur Shazrin Mohamad Latif (ILCA 6) berakhir di tempat ke-32 dan ke-35 manakala penembak Johnathan Wong menamatkan pusingan kelayakan di kedudukan ke-26.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Negara, Datuk Hamidin Mohd Amin berpuas hati dengan prestasi keseluruhan kontinjen negara terutama semangat juang yang ditunjukkan ketika berdepan lawan di ranking lebih tinggi.

Beliau berkata, bagi memastikan misi emas sulung negara tercapai pada empat tahun akan datang, kerja asas dan perancangan untuk LA28 perlu bermula daripada sekarang.

Berbanding edisi sebelumnya, kali ini Kementerian Belia dan Sukan diketuai Hannah Yeoh mempunyai objektif lebih baik dengan program jangka panjang RTG yang menyediakan sokongan tambahan kepada bakal pencabar pingat untuk dua kitaran Olimpik sehingga LA28.

Program Fast Track RTG turut diperkenalkan pada Februari lepas bagi membangunkan atlet cemerlang berumur antara 16 hingga 25 untuk menjadi pencabar pingat LA28 dengan atlet skuasy dan terjun ditempatkan dalam program itu setakat ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub berkata, mereka akan mengkaji untuk menambah lebih ramai atlet ke program itu di samping mempertingkatkan Program Podium yang diperkenalkan pada 2016.

"MSN akan merangka pelan empat tahun untuk LA28 dan bangunkan sukan-sukan baharu seperti mendaki, papan selaju dan luncur air untuk lihat potensinya selain sukan yang banyak menawarkan pingat dan kategori berat badan yang lebih sesuai contohnya dalam kategori 61kg angkat berat di mana Mohamad Aniq hampir meraih pingat,” katanya. - Bernama