Fenomena Hujan Meteor Perseids

Iklan
TOMPOKAN awan memenuhi langit ketika para peminat astronomi cuba merakam fenomena Hujan Meteor Perseids awal pagi tadi di pantai Trombol, Telaga Air kira-kira 30 kilometer dari bandaraya Kuching.

Fenomena yang berlaku setiap tahun itu, bermula sekitar 17 Julai hingga 24 Ogos dan boleh disaksikan dengan mata kasar di lokasi yang gelap dan bebas daripada pencemaran cahaya.

Hujan Meteor Perseids merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit apabila bumi beredar merentasi laluan orbit Komet Swift-Tuttle.

Komet Swift-Tuttle dianggarkan mempunyai nukleus yang berdiameter sebesar 26 kilometer dan mengambil masa selama 133 tahun untuk melengkapkan orbitnya.

Semasa komet tersebut mengorbit menghampiri matahari, debu-debu komet yang terbebas disebabkan proses pemejalwapan akhirnya akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa-sisa komet tersebut.

Sisa tinggalan ini akhirnya akan memasuki atmosfera bumi dan terbakar lalu membentuk jalur bersinar yang panjang. Komet ini kali terakhir mendekati bumi pada 1992 dan dijangka akan menghampiri bumi semula pada 2126.