Lapangan terbang berdaya saing

Iklan
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur

SHAH ALAM - Penumpuan terhadap pembangunan sektor pengangkutan dan logistik udara adalah salah satu daripada elemen utama dalam usaha untuk mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Apabila membicarakan soal aspek infrastruktur pengangkutan udara negara, semua pihak tidak boleh menafikan bahawa realitinya, infrastruktur lapangan terbang negara mengalami kemerosotan dari segi daya saing berbanding negaranegara serantau.

Iklan
Iklan

Berdasarkan perangkaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), saling hubungan antarabangsa lapangan terbang negara menunjukkan kemerosotan apabila hanya merekodkan 22 laluan jarak jauh, ketinggalan dengan Singapura dan Thailand yang masing-masing mencatatkan 40 dan 55 laluan jarak jauh.

Selain itu, negara-negara ASEAN lain dilihat telah memulakan langkah agresif melaksanakan pelaburan besar bagi meningkatkan daya saing lapangan terbang mereka sejak lima tahun lalu seperti Thailand yang mencatatkan nilai pelaburan sebanyak RM6.6 bilion, diikuti Indonesia sebanyak RM12 bilion berbanding Malaysia yang hanya mencatatkan RM1.4 bilion nilai pelaburan.

Iklan

Malah, dalam senarai Skytrax 2024, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menduduki tangga ke-71, menyusut daripada tangga ke-68 dunia pada tahun sebelumnya.

Sektor pelancongan

Iklan

Sektor pelancongan dan usaha meningkatkan daya saing lapangan terbang adalah saling berkait di antara satu sama lain.

Dalam tempoh 10 tahun, pertumbuhan pelancongan Malaysia telah menunjukkan potensi yang besar, namun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dan terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan saling hubungan antarabangsa.

Ini kerana, dalam perbandingan dengan negara-negara serantau, Malaysia menunjukkan prestasi yang kurang memberangsangkan.

Sebagai contoh, destinasi popular seperti Bali dan Phuket masing-masing mempunyai 35 dan 50 laluan antarabangsa berbanding Pulau Pinang yang mencatatkan 18 laluan antarabangsa, diikuti Kota Kinabalu 15 laluan dan Langkawi hanya dengan satu laluan antarabangsa sahaja.

Justeru, adalah amat penting bagi meningkatkan daya saing dan saling hubungan lapangan terbang antarabangsa sekali gus merancakkan sektor ekonomi negara.

Kerajaan tidak mampu melakukannya sendiri dan penyaluran modal swasta amat diperlukan untuk membiayai usaha ini. Oleh itu, kerjasama antara sektor awam dan swasta adalah kunci untuk mencapai kejayaan.

Pembaharuan MAHB

MAHB sentiasa berusaha mencari dan melaksanakan pendekatan strategik untuk menjadikan rangkaian lapangan terbang di seluruh negara berdaya saing dan berfungsi sebagai pemangkin kepada pelancongan, perdagangan dan pelaburan.

Inisiatif ini bukan sahaja akan memperbaharui semua lapangan terbang di bawah pengurusan MAHB, tetapi juga membawa pelbagai manfaat yang signifikan kepada ekonomi dan masyarakat.

Antara manfaat utama daripada pembaharuan ini adalah:

• Platform Jenama Tempatan: Dengan memperkukuh infrastruktur lapangan terbang, MAHB dapat menyediakan platform yang lebih baik untuk mempromosikan jenama-jenama tempatan, sekali gus meningkatkan pengenalan dan daya saing produk Malaysia di peringkat global.

• Peluang Pekerjaan: Pembaharuan ini dijangka akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, baik secara langsung dalam sektor penerbangan mahupun secara tidak langsung dalam industri sokongan seperti perkhidmatan dan perdagangan.

• Meluaskan Kesalinghubungan Udara: Dengan penambahbaikan infrastruktur, ketersambungan udara akan diperluas, membolehkan lebih banyak penerbangan domestik dan antarabangsa, yang seterusnya akan meningkatkan pelancongan dan perdagangan.

• Menarik Syarikat Penerbangan Baharu: Rangkaian lapangan terbang yang lebih baik dan berdaya saing akan menarik minat syarikat penerbangan baharu untuk beroperasi di Malaysia, meningkatkan pilihan penerbangan untuk penumpang.

• Meningkatkan Pelaburan Asing: Dengan kemudahan yang lebih baik, Malaysia akan menjadi destinasi yang lebih menarik untuk pelaburan asing, yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

• Membangun Ekonomi Sekitar Lapangan Terbang: Pembaharuan ini juga akan memberi impak positif kepada ekonomi setempat, dengan meningkatkan aktiviti ekonomi dan perniagaan di sekitar lapangan-lapangan terbang.

• Pengalaman Penumpang Ditambahbaik: Penambahbaikan dalam kemudahan dan perkhidmatan di lapangan terbang akan meningkatkan pengalaman penumpang, menjadikan perjalanan mereka lebih selesa dan efisien.

• Pilihan Membeli-Belah Diperluas: Dengan pembaharuan ini, pilihan membeli-belah di lapangan terbang akan diperluas, memberikan lebih banyak pilihan kepada penumpang untuk membeli barangan tempatan dan antarabangsa.

• Mengapa ADIA dan GIP? Kepakaran teknikal yang diperakui dalam transformasi lapangan terbang di serata dunia dan kedudukan kewangan kukuh yang mampu mendanai perbelanjaan modal diperlukan MAHB.

Memacu pembaharuan

Dalam usaha untuk memenuhi keperluan pelaburan yang dianggarkan sebanyak RM10 bilion, sebuah konsortium yang terdiri daripada pelbagai entiti telah ditubuhkan merangkumi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional (Khazanah) serta rakan teknikal iaitu Global Infrastructure Partners (GIP) dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA).

Dari segi pegangan saham dalam konsortium ini pula, KWSP dan Khazanah secara bersama menguasai majoriti 70 peratus saham MAHB.

Secara lebih tepat lagi, Khazanah akan mempunyai pegangan 40 peratus manakala KWSP pula sebanyak 30 peratus, sekali gus mengekalkan penguasaan Malaysia dalam MAHB.

Selain itu, GIP dan ADIA sebagai rakan-rakan teknikal yang diperakui dalam transformasi lapangan terbang dan juga mempunyai prestasi kewangan yang kukuh yang mampu mendanai perbelanjaan modal yang diperlukan MAHB.

Secara bersama, mereka hanya mempunyai pegangan minoriti 30 peratus.

Dengan kerjasama ini, diharapkan pelaburan yang dilakukan akan memberikan pulangan yang baik dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Konsortium ini menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memenuhi keperluan pelaburan yang diperlukan untuk pembangunan masa depan.

Tiada istilah penjualan aset kepada pihak asing

Berdasarkan strategi pembaharuan tersebut syarikat Malaysia kini memegang 70 peratus saham dalam MAHB, menunjukkan peningkatan ketara berbanding pegangan sebelumnya yang hanya sekitar 41 peratus.

Selain itu, penyertaan GIP dan ADIA dijangka akan menggantikan pelabur jangka pendek. Ini menandakan satu langkah positif dalam memastikan kestabilan dan pertumbuhan jangka panjang bagi MAHB.

Penting untuk ditekankan bahawa tiada istilah ‘aset strategik negara’ yang dijual kepada pegangan asing dalam konteks ini.

Sebaliknya, perubahan ini dilihat sebagai satu usaha untuk memperkukuhkan kedudukan syarikat dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap potensi masa depan MAHB.

Dengan pegangan yang lebih besar oleh syarikat tempatan, akan ada lebih banyak peluang untuk pembangunan dan pengembangan infrastruktur penerbangan di Malaysia.