PERNIAGAAN jam tiruan menjadi satu perusahaan replika aksesori mewah yang menguntungkan kerana permintaannya sangat tinggi sejak sekian lama.
Sama ada analog atau digital, boleh dikatakan lambakan jam ‘mewah’ yang dijual dalam talian belum tentu tulen di samping harga yang tidak boleh diterima akal.
Dalam segelintir kes, kepakaran si pembuat jam tiruan juga semakin sofistikated sehingga pembeli tidak dapat membezakan mana satu yang asli dan palsu. Cukup mengelirukan!
Barangkali pembeli terpaksa menggunakan kanta pembesar untuk meneliti kemasan jam tangan palsu bagi mengelakkan diri tertipu. Bagaimanapun, e-Trend ingin kongsikan beberapa tip untuk si pemburu jam agar tidak tertipu dengan produk tiruan.
Tip yang dikongsikan pakar jam tangan terkemuka United Kingdom, Frankenwatches yang dipetik fashionbean.com ini sangat bermanfaat untuk dikongsikan.
1. Lokasi
Tidak semestinya jam yang dipaparkan di sebalik kaca kedai itu adalah tulen. Jika tidak keberatan, bertanyalah kepada penjual sama ada mereka mempunyai lesen jualan jenama itu.
Barangkali dengan cara itu, memudahkan pembeli menyemak di laman web jenama. Sama ada kedai tersebut antara outlet atau stokis yang sah, periksalah sebelum meneruskan urusan jual beli.
Tidak salah berbelanja lebih untuk membeli dengan penjual berlesen berbanding ‘jimat’ 20 peratus untuk material yang dibeli dalam dalam talian yang belum tentu asli pembuatannya.
2. Jangan tamak
Aksesori jam mahal memiliki nilai pelaburan tersendiri. Berhati-hatilah jika ada yang menawarkan harga murah dengan promosi potongan sehingga 25 peratus untuk jenama seumpama itu.
Jangan bersikap tamak semata-mata ingin berjimat. Jika berhabis duit untuk jam premium yang lebih murah 20 peratus daripada nilai pasaran, tidak mustahil ia antara material palsu.
Menurut pakar The Watch Gallery, Tim Pavy, jika terlalu bagus promosi yang diberikan sehingga menjadi tidak realistik, ia tidak mungkin produk tulen.
"Ini kerana aksesori jam seperti Rolex dan Omega cukup bernilai bagi setiap sen yang dibelanjakan. Sebab itu, jika ada promosi meragukan harus berwaspada,” kongsinya.
3. Bersemuka
Setiap pembelian perlu bersemuka. Jangan mudah terpedaya dengan gambar ‘indah khabar daripada rupa’ yang dipaparkan untuk jualan jam ketika berurus niaga dalam talian.
Menurut Pavy, jika membeli melalui lelongan dalam talian atau barangan terpakai, kekurangan perincian gambar boleh menjadi petunjuk si penjual cuba menyembunyikan sesuatu.
Jika imej kabur, berhati-hatilah sebelum membeli. Lebih ideal jika ada penerangan mendalam mengenai butiran produk termasuk kecacatan atau sebaliknya supaya memperlihat si penjual jujur.
Jika masih mahu membeli dalam talian, carilah laman web yang dipercayai dalam menjual jenama terbaik dunia.
4. Teliti
Sebelum membeli, harus tekun meneliti produk yang diinginkan. Ini kerana, biasanya si pemalsu bijak menggunakan bahan murah untuk menjimatkan kos. Jadi, kebanyakan jam yang dijual lebih ringan berbanding jenama sebenar.
"Salah satu bahagian yang paling sukar adalah kemasan buatan tangan. Ia proses yang tidak boleh digantikan dengan alatan mesin,” kata pengasas bersama Watchfinder, Lloyd Amsdon.
Jam palsu boleh dinilai melalui bentuk tajam di setiap penjuru kerana tiada kemasan sempurna. Tidak dinafikan reka bentuk boleh ditiru, namun pembeli boleh lihat perbezaannya.
5. Terima hakikat
Jika logo jam berjenama tidak sempurna atau ‘lari’ dari tempatnya, itu bukannya kesilapan tetapi aksesori palsu.
Pembeli perlu menerima hakikat bahawa setiap jam mewah dijual dengan kemasan sempurna. Perlu alah membeli, menang memakai.
Menurut Amsdon, pembuatan jenama jam palsu kebanyakannya tidak konsisten terutamanya pada paparan dial dan tidak semuanya sempurna jika dibandingkan dengan harga yang ditawarkan.
Sebelum berbelanja, perlu rajin mencari imej sebenar di laman web rasmi dan buatlah perbandingan setiap material.