Lapan jam padam api, lori tangki bawa diesel terbakar

Iklan
Pasukan bomba dari BBP Lahad Datu bertungkus lumus memadamkan kebakaran lori tangki membawa muatan diesel di kawasan bulatan berhampiran Taman Palm Height, Lahad Datu.

LAHAD DATU - Pasukan bomba terpaksa mengambil masa hampir lapan jam memadamkan kebakaran sebuah lori tangki yang membawa muatan diesel di kawasan bulatan berhampiran Taman Palm Height di sini, pada Isnin.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 petang itu turut menyebabkan anggota bomba berdepan cabaran ketika memadam kebakaran yang tercetus berulang kali walaupun api sudah berjaya dipadamkan sebelum itu.

Api kelihatan marak pada lori tangki membawa muatan diesel terbakar di kawasan bulatan berhampiran Taman Palm Height, Lahad Datu.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, seramai 16 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh empat kilometer dari balai bomba.

"Pemandu lori memaklumkan lori terbabit membawa muatan 10,000 liter diesel. Namun tiada maklumat terperinci bahan api itu dibawa ke mana.

Iklan

"Namun sepanjang operasi, kami sudah tiga kali berjaya memadam api tetapi tercetus kembali dipercayai dari dalam paip tangki tersebut," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Punca kebakaran masih belum diketahui.

Bagaimanapun, Sumsoa berkata, anggota bomba berjaya mengawal kebakaran tersebut kira-kira jam 10 malam sebelum operasi ditamatkan sejam kemudian.

Iklan

"Punca kebakaran masih belum diketahui dan pihak forensik ke lokasi kejadian pagi ini untuk siasatan lanjut.

"Operasi ditamatkan selepas pasukan bomba memastikan lokasi kejadian selamat digunakan," katanya.