Penganggur didakwa edar 111,663.51 gram kanabis

Iklan
Tertuduh (dua dari kanan) diiringi keluar selepas selesai sebutan kes mengedar 111,663.51 gram kanabis yang dihadapi dalam Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

KUANTAN - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas tuduhan mengedar 111,663.51 gram (berat kasar) kanabis, 1 Ogos lalu.

Tertuduh, Mohd Nasir Hassan, 49, dari Rantau Panjang, Kelantan mengangguk faham pertuduhan bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Iklan
Iklan

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah terbabit ketika berada di tepi jalan berhampiran sebuah medan selera di Sungai Ular di sini kira-kira jam 9.45 pagi 1, Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Tertuduh (dua dari kiri) diiringi keluar selepas selesai sebutan kes mengedar 111,663.51 gram kanabis yang dihadapi dalam Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

Iklan

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Jika tidak dihukum mati, tertuduh turut berdepan hukuman tidak kurang 12 sebatan.

Iklan

Majistret, Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat menetapkan 13 November depan untuk sebutan semula kes itu.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Abdul Wahab.

Sementara itu, dalam mahkamah sama, tertuduh turut berdepan tuduhan menggunakan dadah jenis methamphetamine.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, jam 12.15 tengah hari, 1 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua dan wajib pengawasan tidak kurang dua tahun.

Tertuduh mengaku faham pertuduhan bagaimanapun pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan sebelum menetapkan 16 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu dalam mahkamah sama.