MELAKA - Suami kepada Cikgu Istiqomah Ahmad Rozi, 33, mengakui sebak dan sedih mengenang nasib tiga anaknya yang begitu merindui ibu mereka termasuk anak sulung yang didakwa 'mencuri-curi' untuk melihat gambar mangsa.
Mohd Yusoff Mokhtar, 35, berkata, saat ini apa yang lebih penting adalah menjaga emosi anak-anak Naura Auni,9, Naufal Amzar, 6, dan Nayla Aisya, 4, yang sedih menonton berita kematian ibu mereka di televisyen.
Menurutnya, biarpun berat untuk melaluinya namun, sebagai bapa dia telah menjelaskan apa yang berlaku kepada anak-anaknya.
"Anak sulung terutamanya suka curi-curi tengok gambar arwah kerana dia rindu.
"Tapi bila perasan saya melihat tindakannya itu, dia akan sembunyikan gambar kerana tidak mahu saya bersedih," katanya sebak ketika dihubungi pemberita di sini, pada Selasa.
Tambah Mohd Yusof, ada waktunya ketiga-tiga anaknya itu akan termenung, berdiam diri dan membisu mungkin terlalu rindukan arwah.
"Kalau menangis mereka akan panggil mama iaitu panggilan kepada arwah namun saya perlu sembunyikan keperitan hati ini untuk memberi kekuatan kepada anak-anak," katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohd Yusof turut merayu orang ramai supaya tidak mengaitkan lelaki itu sebagai bekas kekasih isterinya kerana mereka hanya berkawan di maktab perguruan sebelum ini.
"Janganlah ditambah kesedihan saya tapi doakanlah saya dan tiga anak-anak yang masih kecil terus kuat mendepani pembunuhan kejam ini
"Saya juga berharap dapat segera menuntut jenazah arwah untuk dikebumikan di Pasir Mas, Kelantan selepas lapan bulan kematiannya tidak bernisan," ujarnya lagi.
Terdahulu Sinar Harian pada Isnin melaporkan kehilangan seorang guru wanita sejak lapan bulan lalu akhirnya terjawab selepas polis mengesahkan mayat tidak lengkap ditemui pada 31 Disember lalu adalah milik Istiqomah Ahmad Rozi, 33.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan mendapati ia sepadan dengan guru Sekolah Kota Masai 3, Pasir Gudang Johor, Istiqomah Ahmad Rozi,33, yang dilaporkan hilang sejak 27 Disember tahun lalu.
Menurutnya, risikan yang dijalankan pasukan polis Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Melaka dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah telah berjaya menahan sepasang suami isteri masing-masing berusia 36 dan 37 tahun.