PRK Nenggiri: Mat Sabu nasihat pengundi tidak terpengaruh fatwa politik Pas

Iklan
Mohamad Sabu. Foto fail Bernama

GUA MUSANG - Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu menasihatkan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, untuk tidak terpengaruh dengan fatwa politik dikeluarkan Pas.

Beliau berkata, kenyataan seperti menggelar parti DAP sebagai kafir harbi ketika kempen PRK itu sebelum ini boleh berubah, bahkan katanya fatwa parti itu sebelum ini berbeza ketika berada di bawah satu bumbung sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Dua kali pilihan raya kita bersama Pas bersama DAP pada PRU 2008 dengan 2013, Lim Guan Eng juga pernah dipuji seakan Umar Abdul Aziz. Pada 2008 juga berapa ramai wanita DAP pakai baju Nik Aziz (bekas Mursyidul Am Pas) dan ramai juga pemimpin Pas pakai baju dan topi roket, ketika itu tiada masalah.

"Kemudian 2015 bercerai dengan DAP dan Keadilan (PKR)...Mungkin tahun depan (mereka akan kata) kita berkawan dengan DAP satu rahmat kepada ALLAH,” katanya berseloroh ketika berucap dalam majlis ceramah kelompok di Sungai Asap di sini, malam semalam.

Iklan

PRK DUN Nenggiri yang ditetapkan hari mengundi Sabtu ini, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon Pas, Mohd Rizwadi Ismail.

Oleh itu, Mohamad turut mengingatkan kepada pengundi yang beragama Islam agar tidak terpedaya dengan retorik politik itu, sebaliknya berpegang kepada prinsip-prinsip agama yang tetap.

Iklan

"Fatwa yang patut kita pegang, seperti sembahyang (solat), puasa di bulan Ramadan, jangan minum arak, membayar zakat, mengerjakan umrah.

"Anggaplah ‘dengar telinga kanan, keluar telinga kiri’, fatwa-fatwa ini jangan ambil berat. Fatwa ini akan berubah setiap kali pilihan raya, janganlah pegang fatwa ini kerana ia hanya angin lalu mengikut musim dan keadaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Amanah, Mohd Sany Hamzan dalam ceramah kelompok yang sama berkata seluruh jentera Amanah telah digerakkan dari seluruh negara, bagi membantu kempen calon BN meraih undi pada PRK DUN Nenggiri.

"Dari Johor sehingga ke Perlis, kita kerahkan untuk berkempen dan berada di empat Pusat Daerah Mengundi (PDM) iaitu Jeram Tekoh, Bertam Baru, Sungai Asap dan Jerek untuk mengerakkan program dan aktiviti bagi membantu saudara Awie (Mohd Azmawi Fikri) calon nombor dua,” katanya. - Bernama