IPOH - Hasrat seorang peniaga memiliki kenderaan mewah jenis Mercedes Benz tidak kesampaian apabila menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian dengan kerugian lebih RM147,000.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, laporan kejadian itu diterima pada 6 Ogos lalu membabitkan mangsa lelaki berusia 53 tahun dari Gerik.
Menurutnya, kejadian bermula pada 15 April selepas mangsa melihat iklan penjualan kereta jenis Mercedes Benz GLA 200 AMG Sport 4Matic 1.3a melalui Facebook.
"Tertarik dengan iklan tersebut, mangsa menekan link WhatsApp yang tertera dan berhubung dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai jurujual kereta di sebuah syarikat di Selangor.
"Mangsa ditawarkan harga jualan kereta tersebut pada RM113,000 dan ansuran bulanan sebanyak RM1,328.80.
"Malah, mangsa juga diyakini memenangi hadiah cabutan bertuah berupa sebuah iPad," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Azizi berkata, mangsa yang terpengaruh dengan tawaran diberikan telah membuat pembayaran wang pendaftaran RM2,680 ke dalam akaun bank diberikan suspek.
Katanya, bermula 17 April hingga 25 Julai, mangsa membuat 32 transaksi bayaran ke dalam sembilan akaun bank diberikan suspek dengan jumlah keseluruhan RM144,920 bagi pelbagai tujuan bayaran termasuklah insurans, cukai jalan dan duti import.
"Mangsa dijanjikan penghantaran kereta tersebut pada 19 April, namun perkara itu tidak berlaku.
"Suspek masih meminta mangsa membuat bayaran RM20,000 kononnya bagi bayaran perjanjian jual beli tamat tempoh dan duti setem.
"Mangsa yang mulai curiga dengan proses pembelian terlalu rumit dan sukar membuat laporan polis untuk siasatan lanjut," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.