KOTA BHARU - Ketua keluarga perlu menjadi contoh terbaik untuk membentuk nilai integriti dalam setiap individu di peringkat awal usia seterusnya dapat melahirkan pekerja berprestasi cemerlang dalam sesebuah organisasi.
Penolong Pengurus Pemantauan Pretasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Nor Hannan Mohamad berkata, didikan awal dari rumah yang ditonjolkan oleh ketua keluarga atau bapa tersebut akan menjadi ikutan sekali gus dapat menghasilkan impak yang positif dalam masyarakat.
Kata beliau, disiplin baik diterapkan ke dalam diri anak-anak harus bermula melalui hal-hal kecil yang akan mendidik mereka untuk mengingati, seterusnya mengamalkannya apabila meningkat remaja, di sekolah hingga ke bidang pekerjaan.
"Bapa di rumah wajar mempamerkan teladan-teladan murni di hadapan anak-anak.
"Didik mereka dengan nilai integriti bermula dengan sekecil-kecil perkara misalnya cara membuang sampah kulit gula-gula, simpan dalam poket, jumpa tong sampah baru buang berbanding cara salah, melempar ke luar dari tingkap kereta,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau sebelum itu menyertai Program Hab Integriti PMBK bersama Rasuah Busters di Tunjong di sini, pada Ahad.
Program tersebut turut dihadiri Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMBK, Wan Mohd Husni Wan Osman dan 65 kakitangan pengurusan syarikat berkaitan kerajaan berkenaan.
Nor Hannan mengulas lanjut, rentetan daripada amalan baik yang kecil itu akan mampu menghasilkan pekerja berprestasi tinggi tanpa salah lalu integriti.
"Mereka yang terdidik dan berdisiplin ini akan membawa budaya dan ajaran baik itu ke dalam konteks lebih besar.
"Apabila dewasa, mereka mampu menjauhi segala gejala buruk dan tidak berintegriti seperti rasuah sekali gus memberi prestasi yang baik dalam pekerjaan,” katanya.
Beliau juga mengingatkan semua supaya berpegang teguh dengan ajaran agama, adab dan etika dalam berdepan cabaran teknologi masa kini yang berada di hujung jari seperti telefon pintar kerana adanya ruang lebih luas untuk seseorang itu terjebak dengan kesalahan integriti tanpa dapat dikesan.
Justeru, katanya, peringatan sesama sendiri perlu dilakukan secara berterusan dan setiap pekerja juga kena berani melaporkan salah laku yang berlaku kepada pihak berwajib atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Tak perlu takut membuat aduan kepada SPRM, seperti di PMBK sendiri ada polisi dalam melindungi pemberi maklumat berkait jenayah integriti.
"Selainnya, praktikkan adab dan etika dalam semua keadaan sama ada semasa orang nampak atau tidak serta jujur kerana Allah Maha Melihat semuanya,” kata Nor Hannan.