Dilabel gagal di Olimpik Paris, Hamidin minta berpijak di bumi nyata

Iklan
Hamidin Mohd Amin

KETUA Kontinjen Malaysia Ke Sukan Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin meminta semua pihak berpijak di bumi nyata susulan tanggapan kegagalan kontinjen negara di Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurutnya, walaupun gagal meraih pingat emas, namun kebanyakan atlet negara telah menampilkan peningkatan prestasi di temasya sukan terbesar dunia itu.

Iklan
Iklan

"Kita perlu berpijak di bumi nyata. Contohnya badminton, tak ada pun dalam senarai ranking pemain kita berada di kedudukan pertama atau kedua dunia.

"Tetapi, mereka telah melepasi lebih daripada prestasi ketika beraksi di Olimpik. Kita kena lihat perkara itu.

Iklan

"Jadi, kalau kita katakan mereka di ranking nombor satu atau dua dunia kalau tak dapat emas itu lain lah," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Paris pada Selasa.

Pada edisi Olimpik kali ini, kontinjen negara membawa pulang dua pingat gangsa dari gelanggang badminton menerusi pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia.

Iklan

Olimpik Paris 2024: BAM akui gagal capai sasaran

Sementara itu Bernama melaporkan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui pemain-pemain di bawah naungannya yang beraksi di temasya Olimpik Paris 2024 tidak mencapai sasaran ditetapkan selepas gagal membawa pulang pingat emas.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, bagaimanapun, beliau tidak mahu memberikan sebarang alasan berkenaan pencapaian itu sebaliknya mahu segera melupakan perkara berkenaan selain mahu fokus untuk meningkatkan prestasi pemain negara pada masa akan datang.

"Kami gagal capai sasaran, tapi badminton masih sukan yang sumbang pingat kepada kontinjen dalam hampir setiap Olimpik. Mungkin ada yang cakap sekadar gangsa, tapi ia bukan mudah, saya terima kasih atas sokongan diberikan.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky (dua, kiri) bergambar bersama pemain badminton wanita beregu kebangsaan, Pearly Tan (tengah) dan Thinaah Muralitharan (dua, kanan) ketika sidang akhbar 'Post Olimpik Paris 2024' di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini pada Selasa. Foto Bernama

"Jadi, saya tidak mahu bagi alasan kerana letak benda ini di belakang dan buat penambahbaikan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini pada Selasa.

Pada edisi Olimpik Paris 2024, pasangan di bawah naungan BAM hanya berjaya membawa pulang pingat gangsa menerusi gandingan Aaron-Wooi Yik, manakala dua lagi wakil, Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) masing-masing mara ke aksi penentuan pingat gangsa dan suku akhir.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky berkata, perasaannya bercampur baur berkenaan prestasi anak buahnya di temasya berprestij itu.

Beliau berpandangan pemain-pemain BAM tidak gagal sepenuhnya kerana mereka berjaya mempamerkan peningkatan prestasi berbanding sebelum ini.

"Perasaan bercampur baur itu ada, sebab kecewa kerana gagal bawa pulang pingat emas, tetapi gembira juga berasaskan persembahan pemain.

"Mereka hampir raih pingat emas. Saya harap selepas ini tiada lagi perkataan hampir dan boleh bawa pulang pingat emas,” katanya.