Remaja 14 tahun didakwa bunuh kekasih

Iklan
Seorang remaja lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh kekasihnya berusia 13 tahun di Mahkamah Tinggi Tawau.

TAWAU - Seorang remaja lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh kekasihnya berusia 13 tahun di Mahkamah Tinggi, di sini pada Selasa.

Tertuduh warga asing berusia 14 tahun membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

Iklan
Iklan

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh pada 4 Januari 2023 antara kira-kira jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Kalabakan di sini telah membunuh seorang remaja perempuan yang tidak mempunyai dokumen.

Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak lebih 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan jika disabit kesalahan.

Iklan

Mahkamah kemudian menetapkan 10 hingga 14 Februari 2025 sebagai tarikh perbicaraan kes.

Dalam prosiding sama, mahkamah dimaklumkan seramai tujuh saksi pendakwaan akan dipanggil sepanjang perbicaraan itu berlangsung.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Suhaimi Suriana manakala tertuduh diwakili peguam Liew Hon Min.

Sebelum ini, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terikat dengan kesan kecederaan di kepala di dalam sebuah parit di ladang berkenaan pada Januari tahun lalu.