Dua syarikat tempatan bina kapal peronda tentera Nigeria

Iklan
Adly (tiga dari kiri) bergambar bersama pihak KN Aluminium & Engineering dan Northern Shipyard atas kapal peronda 38M Sea Eagle.

DUA syarikat milik anak tempatan dalam sektor industri pembinaan perkapalan, KN Aluminium & Engineering Sdn Bhd dan Northern Shipyard Sdn Bhd mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menyiapkan kapal peronda Tentera Laut Nigeria, 38M Sea Eagle.

Pengarah Urusan dan Pengasas KN Aluminium & Engineering Sdn Bhd, Khee Chee Kheong berkata, pihaknya amat teruja untuk memperkenalkan kemajuan terkini dalam teknologi maritim.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pencapaian itu mencerminkan usaha tanpa henti mereka dalam mendepani batasan dalam penyelesaian maritim, memastikan pelanggan mendapat manfaat daripada keupayaan yang paling canggih.

"la adalah satu penghormatan terbesar bagi kami terutamanya pada bulan Ogos, bulan kemerdekaan Malaysia.

Iklan

"Ia amat luar biasa bagi syarikat untuk berjaya menyempurnakan dan menyerahkan projek ini di peringkat antarabangsa. Saya bangga menjadi rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyempurnaan Pembinaan Kapal Peronda 38M Sea Eagle yang dirasmikan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari di Northern Shipyard Sdn Bhd Lencongan Kampung Bukit Malut di sini pada Selasa.

Iklan

Hadir sama, Pengarah Urusan Northern Shipyard Sdn Bhd, Ooi Cheng Choon.

Sehubungan itu, beliau berharap, kerajaan Malaysia dapat memberi peluang kepada mereka yang merupakan syarikat tempatan untuk menghasilkan kapal buatan Malaysia.

Chee Keong berkata, mereka mempunyai kemampuan dan kepakaran untuk membina kapal canggih dan menggunakan teknologi terkini itu.

Sementara itu, Pengurus Besar KN Aluminium & Engineering Sdn Bhd, Calvin Yong berkata, pihak mereka diberikan kepercayaan untuk membina dan menyiapkan kapal peronda 38M Sea Eagle berukuran 38 meter panjang dan tujuh meter lebar.

Beliau berkata, dua kapal itu mula dibina pada Februari 2022 dan berjaya disiapkan pada Februari 2024 iaitu mengambil masa 24 bulan.

"Kapal peronda ini menggunakan dua unit enjin MTU buatan Jerman dengan kelajuan maksimum 29 knot, berupaya menghasilkan lima tan air bersih sehari.

"Tangki minyak mampu membekalkan 42,980 liter diesel dan mampu belayar selama lima hari tanpa henti," katanya.

Beliau menambah, pembinaan itu menggunakan kepakaran 85 anak tempatan termasuklah lima wanita.

Menurut Pengurus Perhubungan Korporat Northern Shipyard Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom, syarikat Northern Shipyard dan KN Aluminium & Engineering membangunkan bersama empat kapal peronda pesisir pantai beberapa tahun lepas sebelum kapal peronda tentera Nigeria kali ini.

Beliau berharap kejayaan syarikat tempatan membangunkan kapal untuk tentera Nigeria itu membuktikan Malaysia terutamanya Pulau Langkawi mempunyai kepakaran membina kapal canggih.

Baharin berpandangan, penggunaan syarikat tempatan berkenaan bukan hanya mampu mengawal wang dari keluar, malah meningkatkan kemahiran anak muda tempatan.

"Kapal dibina syarikat tempatan adalah satu kebanggaan kepada rakyat Malaysia," katanya.