Along serang rumah peminjam guna kayu, pisau

Iklan
Azizi (kanan) menunjukkan wajah suspek yang berjaya ditahan dalam serbuan berasingan di Kampar dan Ayer Tawar pada Jumaat dan Ahad lalu.

IPOH - Tiga sekeluarga cedera diserang sekumpulan empat along menggunakan kayu dan pisau di sebuah rumah di Ayer Tawar, Manjung Khamis lalu.

Kejadian sekitar jam 12.30 tengah malam itu berlaku ketika mangsa, lelaki berusia 20 tahun bersama kakak dan ibunya menikmati makanan dalam rumah.

Iklan
Iklan

Serangan turut mengakibatkan dua rakan mangsa yang kebetulan berada di rumah tersebut cedera.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, siasatan mendapati, mangsa yang bekerja sebagai penjual jubin membuat pinjaman berjumlah RM1,000 daripada sindiket itu.

Iklan

Bagaimanapun katanya, bayaran pinjaman itu gagal dilunaskan mengakibatkan kumpulan along memecah masuk kediaman bertujuan menakutkan mangsa dan ahli keluarga.

"Semasa sedang makan, mereka terdengar ketukan dari belakang rumah dan sebaik mangsa membuka pintu, empat individu memakai pelitup muka dan bertopi keledar menyerbu masuk.

Iklan

"Seorang daripada suspek membawa kayu telah memukul belakang badan mangsa manakala seorang lagi rakannya bertindak mengambil pisau di atas meja makan dan menoreh belakang badan lelaki itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Luqman Abdul Rahman.

Azizi (dua dari kanan) menunjukkan rampasan barang kes hasil penahanan tiga suspek dalam serbuan berasingan di Kampar dan Ayer Tawar pada Jumaat dan Ahad lalu.

Azizi berkata, berlaku pergelutan antara suspek dengan mangsa ketika mereka cuba lari masuk ke dalam bilik untuk menyelamatkan diri

Suspek bagaimanapun beredar menaiki dua kenderaan iaitu sebuah Toyota Alphard dan Perodua Myvi selepas ibu mangsa menjerit meminta tolong.

"Semua mangsa mengalami kecederaan di belakang badan, tangan dan kaki. Dalam kejadian ini, suspek melarikan wang tunai RM5,000 dan tiga unit telefon bimbit," katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis berjaya menahan tiga suspek termasuk seorang wanita bagi siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Ujarnya, ketiga-tiga suspek berusia 20, 23, dan 33 tahun terbabit ditahan dalam serbuan berasingan di Kampar dan Ayer Tawar pada Jumaat dan Ahad lalu.

"Usaha sedang dilaksanakan bagi mengesan suspek keempat.

"Siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak 2021 dan menyasarkan warga tua serta peniaga kecil di kawasan luar bandar sebagai mangsa dengan bayaran secara harian atau mingguan," katanya.