GEORGE TOWN - Orang awam yang menunaikan solat di Masjid Jamek Al-Munawwar Kelawai di sini dan pernah tertinggal barang peribadi diminta untuk menuntutnya daripada ahli jawatankuasa masjid berkenaan.
Pengerusi masjid berkenaan, Syed Abdul Kadir Syed Abdullah Idid berkata, antara barangan yang ditinggalkan termasuk kunci kereta, jam tangan, cincin, kunci rumah dan cermin mata.
Menurutnya, kesemua barangan itu dikumpul sejak 2020 dan sebahagiannya telah dituntut.
Äntara barangan yang kerap ditinggalkan ialah jam tangan dan cincin.
"Kebanyakan barang ÿang ditemui pihak masjid adalah di tempat mengambil wuduk. Jemaah yang singgah ke sini, mungkin menanggalkan barangan dipakai untuk mengambil wuduk, tetapi selepas itu terlupa untuk mengambilnya semula.
"Ada juga yang kami terjumpa di ruang solat dan beberapa kawasan di masjid ini. Sejak 2020, kini kami menyimpan lebih 40 utas jam tangan, belasan cermin mata, lebih 10 bentuk cincin emas dan suasa serta beberapa gugusan kunci.
"Itu pun ada yang sudah dituntut tetapi kebanyakannya tidak dituntut. Kesemua ini dikumpul dari ruang lelaki dan wanita," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Syed Abdul Kadir berkata, lebih menghairankan, ada jemaah masjid yang tertinggal kunci rumah dan kunci kereta di ruangan solat.
"Saya tidak pasti bagaimana mereka yang tertinggal kunci kereta di masjid pulang ke rumah mereka. Sama juga seperti tertinggal kunci rumah, bagaimana mereka masuk ke kediaman mereka.
"Pemilik kunci pula, sehingga ke hari ini tidak datang menuntut barangan mereka. Oleh itu, saya berharap, mereka yang tertinggal barangan peribadi di masjid ini, datang dan mengambilnya semula," katanya.
Menurut beliau, mereka yang ingin menuntut semula barangan peribadi tersebut, perlu menunjukkan bukti untuk mengesahkan barangan yang dituntut itu adalah milik mereka.
"Jika ada yang hendak menuntut semula, mereka perlu menunjukkan bukti contohnya gambar atau menyatakan jenama barangan bagi membuktikan mereka adalah pemilik sebenar.
"Pihak masjid perlu teliti dalam hal ini kerana bimbang ada yang akan ambil kesempatan," tambahnya.
Kata Syed Abdul Kadir, pihak masjid membuat pengumuman mengenai perkara itu selepas solat Jumaat, dua minggu sekali.
Ujarnya lagi, kesemua barangan tersebut akan diserahkan kepada Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya sekiranya masih tidak dituntut.
"Setakat ini kami belum menyerahkan lagi kepada pihak Baitulmal kerana ingin memberi peluang kepada pemilik untuk datang dan menuntut barangan mereka.
"Ketika ini, pemilik masih ada masa untuk datang ke masjid bagi menuntut barangan yang tertinggal ini. Mungkin penghujung tahun ini, kami akan serahkan kepada pihak Baitulmal untuk tindakan selanjutnya," katanya.