MATTA promosi jelajah Borneo

Iklan
Nigel (tengah) bergambar bersama Sharzede (kanan) dan Shu Lan (kiri) selepas sidang media MATTA Fair Jelajah Borneo di MITEC pada Selasa.

PERSATUAN Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mempromosikan jelajah Borneo sebagai destinasi percutian kegemaran ramai menerusi pameran MATTA edisi ke-55 yang bakal berlangsung pada 6 hingga 8 September depan.

Presidennya, Nigel Wong berkata, ia merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan MATTA dalam mempromosikan pakej pelancongan yang menarik terutamanya Sabah dan Sarawak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dengan kerjasama Tourism Sabah dan Sarawak, pelancong berpeluang merasai pengalaman bercuti di negeri yang penuh keunikan serta budaya itu.

"MATTA bertanggungjawab mempamerkan keindahan dan warisan budaya Borneo bagi menaikkan nama Sabah serta Sarawak sebagai destinasi pelancongan utama buat pelancong tempatan atau asing.

Iklan

"Saya menggesa orang ramai untuk melawat kedua-dua negeri ini kerana ia lokasi yang indah dan takkan dapat dilupakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Jelajah Borneo di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada Selasa.

Iklan

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Sarawak, Sharzede Datu Salleh Askor dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Sabah, Tay Shu Lan.

MATTA Fair edisi ke-55 di MITEC menyasarkan jualan keseluruhan sebanyak RM250 juta dan dijangka menarik kehadiran seramai 200,000 pengunjung.

Selain menyediakan pameran pelancongan, MATTA Fair juga menawarkan pelbagai promosi perjalanan dan percutian dengan penglibatan sebanyak 1,590 reruai.

Pameran terbabit turut menyediakan pengangkutan bas ulang-alik secara percuma bermula jam 10 pagi hingga 9 malam selama tiga hari dari KL Sentral dan Sunway Putra Mall.

Sementara itu, Sharzede memaklumkan, kolaborasi pihaknya bersama Tourism Sabah bukan sahaja usaha mempromosikan lokasi pelancongan di negeri masing-masing, sebaliknya ia adalah penyatuan dua jiwa dalam Kepulauan Borneo yang ingin dikongsikan kepada seluruh dunia.

"Justeru, Borneo sebagai kepulauan ketiga terbesar di dunia dan menjadi kegemaran pelancong, kami bawakan naratif ini bagi menarik perhatian pengunjung tidak kira dari Semenanjung Malaysia mahupun luar negara,” ujarnya.