LOS ANGELES - Donald Trump mengambil peluang untuk memperhebatkan kempen politik menerusi 'sesi sembang' bersama, Elon Musk di platform X milik bilionair itu pada Isnin.
Pada mulanya, ia terpaksa ditangguhkan selama kira-kira 40 minit dan mencetuskan rungutan ribuan pengguna laman blog mikro tersebut kerana mereka tidak dapat mengakses strim langsung berkenaan.
Musk bagaimanapun mendakwa masalah teknikal itu kononnya berpunca daripada serangan siber berskala besar yang dilancarkan ke atas X, beberapa hari selepas kempen Trump menuduh Iran menggodam komunikasi dalaman mereka.
Presiden ke-45 Amerika Syarikat (AS) itu turut kembali menggunakan platform kontroversi itu buat pertama kali dan turut berkongsi beberapa video kempen selepas hampir setahun dikenakan sekatan kerana melakukan pelanggaran sebelum ini.
Antara inti pati 'sembang merapu' selama dua jam itu adalah tentang isu pendatang di sempadan AS yang digelar sebagai 'kiamat zombi' malah bilionair hartanah dihimpit pelbagai skandal kontroversi itu juga berulang kali memanggil Presiden Joe Biden dengan panggilan kesat selain memberi idea tentang penghasilan sistem pertahanan misil baharu untuk melindungi Israel.
Trump juga menunjukkan sisi kurang cerdik beliau apabila menyatakan kenaikan paras laut yang disebabkan perubahan iklim kononnya akan mewujudkan lebih banyak peluang hartanah pesisir pantai.
"Ancaman terbesar bukan pemanasan global sebaliknya 'pemanasan nuklear' kerana terdapat lima negara di dunia sudah memiliki kuasa nuklear dan kita tidak boleh biarkan perkara buruk berlaku dengan orang seperti Biden," katanya.
Musk dilihat cuba membodek Trump apabila secara terang-terangan menyatakan sokongan kepada calon Parti Republikan itu malah tanpa segan silu memberitahu mahu berkhidmat untuk jawatankuasa penjimatan kos di bawah pentadbiran beliau.
Difahamkan, lebih sejuta pengguna X mendengar siaran live-streaming tersebut. - Agensi