'Barat jangan menyibuk hal Iran'

Iklan
Teheran bersama proksi mereka memberi amaran tengah Israel turut menjadi sasaran menuntut bela tersebut. Foto AFP

TEHERAN - Iran pada Selasa menolak desakan Barat supaya membatalkan rancangan untuk melancarkan serangan balas terhadap Israel atas pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh pada bulan lalu.

"Deklarasi bersama dibuat Perancis, Jerman dan Britain tidak mengutuk jenayah kejam dilakukan rejim Zionis sebaliknya menuntut Teheran agar tidak 'menghukum' Tel Aviv meskipun ia telah melanggar kedaulatan dan integriti wilayah kami,” tegas jurucakap Kementerian Luar, Nasser Kanani.

Iklan
Iklan

Kanani turut menyelar tuntutan tidak logik tersebut.

"Ia jelas bertentangan dengan prinsip dan undang-undang antarabangsa serta menunjukkan sokongan awam serta praktikal terhadap Israel,” katanya merujuk kepada gesaan Amerika Syarikat (AS) dan sekutu Barat mereka yang berkeras mahu Iran 'stand down' dan mengambil kira impak serius perang berskala besar ke atas keselamatan di rantau berkenaan.

Iklan

Iran dan proksi mereka tetap menuding jari menyalahkan Israel membunuh Haniyeh di Teheran walaupun Tel Aviv tidak membuat sebarang pengakuan atau penafian hingga kini.

Sejak minggu lalu, diplomat Barat menggandakan usaha mereka bagi mengelakkan konflik lebih meluas di Asia Barat setelah Perang Gaza berlarutan selama lebih 10 bulan.

Iklan

Britain, Perancis, Jerman dan Itali juga menzahirkan sokongan penuh terhadap langkah bagi meredakan ketegangan di rantau berkenaan dan pelaksanaan gencatan senjata di Genting Gaza setelah pusingan baharu rundingan yang tidak akan dihadiri wakil Hamas dijadualkan bermula pada Khamis.

Ketika Barat sibuk campur tangan konflik di Asia Barat, situasi di rantau Eropah juga semakin meruncing dek Perang Ukraine-Rusia yang kini sudah memasuki fasa baharu dijangka lebih sengit setelah Kiev melancarkan operasi mengejut ke atas wilayah Moscow pada minggu lalu. - AFP