'Cikgu Trading' bantu jerat pelabur Warburg Pincus RM21.9 juta

Iklan
Ramli (depan) menunjukkan wajah suspek sindiket penipuan pelaburan 'Warburg Pincus' mengakibatkan kerugian berjumlah RM21.9 juta. Foto HISYAMUDDIN AYUB

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 10 individu disyaki terlibat sindiket penipuan pelaburan 'Warburg Pincus' yang mengakibatkan kerugian berjumlah RM21.9 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tangkapan kumpulan suspek yang terdiri lima lelaki dan lima wanita itu dibuat di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Perak, Kedah, Sabah serta Sarawak.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, suspek berusia 21 hingga 52 tahun dipercayai berperanan sebagai pemilik syarikat serta perniagaan dan pengarah syarikat dalam membuat penipuan pelaburan tersebut.

Kata beliau, sindiket menggunakan nama syarikat pelaburan terkemuka dunia iaitu 'Warburg Pincus' bagi meyakinkan mangsa bahawa pelaburan dijalankan adalah sah.

Iklan

"Berdasarkan siasatan, sindiket ini disyaki memulakan operasi sekitar awal tahun ini dan beroperasi sepenuhnya secara dalam talian.

"Sindiket ini menggunakan laman media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp untuk berkomunikasi dengan mangsa," katanya ketika sidang akhbar pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Ramli berkata, kumpulan penipuan pelaburan tersebut membuat iklan promosi dengan mengaplikasikan sistem algorithm Facebook bagi menjamin hasil yang optimum.

Jelanya, pulangan 11 hingga 15 peratus sebulan ditawarkan kepada pelabur bagi menarik perhatian mangsa.

Tambahnya, sindiket juga dipercayai menawarkan khidmat 'Cikgu Trading' untuk membimbing pelabur bagi menjana pendapatan.

"Untuk menyertai pelaburan, mangsa diminta memuat turun aplikasi palsu yang dihantar melalui pautan WhatsApp.

"Mangsa kemudiannya diarahkan mendepositkan wang ke akaun keldai sebelum boleh memulakan pelaburan.

"Tetapi pada akhirnya, mangsa tidak dapat membuat sebarang pengeluaran keuntungan," ujarnya.

Menurut beliau, sebanyak 44 kes kertas siasatan dibuka terhadap sindiket penipuan tersebut.

Jelas beliau, sejumlah 20 akaun bank milik pelbagai perniagaan dan syarikat telah dikenal pasti disalah guna sebagai akaun keldai untuk menerima wang daripada mangsa terlibat.