KEPALA BATAS - Seorang wanita warga emas maut akibat ditikam dengan gunting oleh anak saudara lelakinya di sebuah rumah di Pekan Darat, di sini pada pagi Selasa.
Mangsa yang berusia lingkungan 80-an itu disahkan meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya (HSJ) ketika mendapatkan rawatan.
Dalam kejadian pada jam 11 pagi itu, mangsa dikatakan cuba meleraikan pergaduhan antara suspek dengan ibunya yang berusia lingkungan 70-an.
Ketika kejadian, hanya mangsa, suspek dan ibu suspek berada di rumah tersebut.
Berlaku pergaduhan antara suspek yang berusia lingkungan 40-an dengan ibunya menyebabkan mangsa cuba untuk meleraikannya.
Suspek dikatakan tidak berpuas hati apabila mendapati mangsa cuba mencampuri urusan dia dan ibunya menyebabkan suspek mengambil sebilah gunting yang diletakkan di atas meja lalu menikam bahagian kiri kepala mangsa.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dibawa ke HSJ untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia.
Sementara itu, ibu suspek turut tercedera dan dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan.
Suspek juga dikatakan telah mengamuk selepas kejadian berkenaan dengan memecahkan cermin rumah saudaranya.
Orang awam yang bimbang perkara lebih buruk berlaku telah menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
Menyedari perkara itu, suspek telah melarikan diri dengan menunggang motosikal, namun berjaya ditahan polis tidak jauh dari kediamannya.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.