Rapid Bus sasar 150 van DRT menjelang Jun 2025

Iklan
Khairil bersama van DRT yang beroperasi di stesen Taman Bahagia, Petaling Jaya.

PETALING JAYA - Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) menyasarkan sebanyak 150 van berkapasiti 12 tempat duduk menjelang pertengahan tahun 2025 bagi memperluaskan perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT) di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) sekitar Lembah Klang.

Ketua Komersial dan Usaha Sama Strategik Rapid Bus, Khairil Khalid berkata, ketika ini pihaknya memiliki 20 van spesifikasi berkenaan yang bergerak di 10 laluan terpilih termasuk di Pulau Pinang.

Iklan
Iklan

"Sejak diperkenalkan pada Mei lalu, perkhidmatan DRT telah beroperasi di sembilan laluan bas perantara sekitar Lembah Klang dan satu (laluan) di Pulau Pinang.

"Permintaan terhadap perkhidmatan ini juga semakin meningkat. Sebagai contoh di stesen LRT Taman Bahagia, sebelum ini kurang 100 pengguna yang menaiki bas perantara, namun kini sekurang-kurangnya 400 orang menggunakan DRT dalam sehari,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan
Khairil bersama van DRT yang beroperasi di stesen LRT Taman Bahagia, Petaling Jaya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, perkhidmatan berkenaan semakin mendapat permintaan dalam kalangan pengguna LRT ekoran masa menunggu serta jarak perjalanan lebih singkat berbanding bas perantara.

Selain itu ujarnya, faktor kemudahan tempahan perkhidmatan menerusi aplikasi ‘Pulse’ juga mengikut kesesuaian waktu dan keperluan perjalanan pengguna.

Iklan

"Jika sebelum ini mereka perlu menunggu bas perantara antara 20 minit hingga 30 minit, kini masa menunggu kurang enam ke lapan minit untuk perkhidmatan DRT.

"Pemandu tidak akan tunggu sehingga van penuh untuk mulakan perjalanan dan tidak perlu melalui semua hentian sekiranya tiada tempahan,” jelasnya.

Mengenai kos perkhidmatan, beliau menjelaskan, setiap perjalanan DRT ditetapkan pada harga RM1 dan penumpang boleh membayar tambang menggunakan Pas Perjalanan Tanpa Had My50, kad Touch n’ Go, Pas MyCity, Kad Konsesi MyRapid, Pas Perjalanan Percuma OKU Smile atau secara tunai.

Perkhidmatan tersebut menurutnya beroperasi setiap hari bermula jam 6 pagi sehingga 11.30 malam.

Sembilan laluan DRT di Lembah Klang melibatkan stesen LRT Alam Megah, Glenmarie, USJ 21, Sri Petaling, Sri Rampai, Taman Melati, Asia Jaya, Paramountt, Taman Bahagia dan T210 (Pulau Pinang).