SHAH ALAM - Encorp Bhd menggantung tugas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Hazurin Harun berkuat kuasa serta-merta bagi memudahkan siasatan dalaman berkaitan dakwaan yang dibuat membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu berkata, Hazurin telah digantung berkuat kuasa Isnin sehingga pengumuman lanjut oleh lembaga.
Iklan
Iklan
Encorp menyatakan bahawa syarikat itu akan meneruskan operasi perniagaannya seperti biasa dalam tempoh penggantungan.
"Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Kamarul Azman Kamarozaman@Amir akan dilantik sebagai pegawai bertanggungjawab dan akan memikul tugas dan fungsi CEO kumpulan buat sementara waktu," katanya.
Encorp, merujuk kepada kenyataan dikeluarkan SPRM berhubung reman tiga pegawainya pada 8 Ogos, berkata, ia komited terhadap tadbir urus yang baik dan ketelusan sepanjang proses siasatan.
"Encorp komited untuk tadbir urus dan ketelusan yang baik sepanjang proses ini dan syarikat memantau keadaan dengan teliti untuk memastikan pematuhan penuh dan menegakkan komitmen kami yang kuat terhadap integriti.
"Encorp akan terus memberikan sokongan penuh dan kerjasama kepada SPRM," katanya.