PENERJUN negara, Nur Dhabitah Sabri yakin masih mampu menampilkan terjunan terbaik sekali gus bertekad untuk mara ke Sukan Olimpik Los Angeles pada 2028.
Menurut Dhabitah, beliau amat mencintai sukan tersebut dan percaya masih ada sesuatu yang boleh disumbangkannya.
Namun, beliau menegaskan mahu berehat seketika sebelum memikirkan perancangan seterusnya.
"Ya, saya masih cintakan sukan ini. Saya fikir saya masih mampu menyumbang banyak lagi dengan program dan bimbingan yang betul," katanya selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Paris pada Selasa.
Pada edisi Olimpik Paris, penerjun berusia 25 tahun itu mengakhiri saingan terjun 3 meter papan anjal wanita di kedudukan ke-12.
Mengulas mengenai penampilan Olimpik ketiganya itu, Dhabitah mengakui tidak menyesal selain percaya jika masa mencukupi untuknya bersedia, beliau akan mendapat keputusan yang lebih baik.
"Dari tiga Olimpik, semuanya saya berpuas hati walaupun kali ini ianya bukanlah keputusan yang kita mahukan, tetapi saya dan jurulatih gembira dan tidak ada penyesalan kerana kita sudah berikan yang terbaik.
"Sememangnya tidak ada penyesalan meskipun banyak perkara boleh diperbaiki tetapi masa adalah musuh utama saya kali ini," katanya.