SHAH ALAM - Malaysia #QuranHour 2024 yang bertemakan ‘Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara’ menekankan asas dalam membentuk keperibadian masyarakat yang harmoni.
Timbalan Pengarah Bahagian Agama dan Kaunseling (Baka) Jabatan Penjara Malaysia, Marzuki Azmi Bidi berkata, apabila masyarakat memahami maksud prinsip Rukun Negara, maka mereka dapat menjadikannya sebagai garis panduan dalam kehidupan harian.
"Rukun Negara pertama iaitu kepercayaan kepada Tuhan dan kita sebagai umat Islam tahu bahawa ALLAH SWT telah menurunkan kitab suci al-Quran, di situlah terkandung segala garis panduan dan hukum-hakam.
"Melalui itu, ia boleh membentuk keperibadian, tingkah laku dan akhlak kita. Dari situ, kandungan al-Quran menggalakkan agar kita mematuhi apa yang kita sebut sebagai amar makruf nahi mungkar untuk kita ke arah jiwa merdeka dan berakhlak mulia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Seminar Penghayatan Al-Quran Dari Metod Digital: Program My #QuranTime Bersama Jabatan Penjara Malaysia di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf pada Selasa.
Ia turut disertai bersama Penjara Sungai Buloh, Selangor dan Penjara Seremban, Negeri Sembilan.
Program Malaysia #QuranHour 2024 akan diadakan serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula jam 10 hingga 11 pagi.
Dalam pada itu, ujar Marzuki Azmi, program tersebut dapat membantu masyarakat khususnya warga Jabatan Penjara Malaysia supaya celik al-Quran serta membebaskan diri daripada melakukan kemungkaran.
Menurutnya, ia berikutan program tersebut mampu meningkatkan kefahaman terhadap ayat al-Quran sekali gus merapatkan jurang mereka dengan masyarakat luar.
"Kita harap melalui program Malaysia #QuranHour ini, mereka dapat mempertingkatkan lagi ilmu pengetahuan mengenai al-Quran, mengamalkan keseluruhan kandungan kitab tersebut dalam kehidupan seterusnya membolehkan mereka kembali ke pangkuan masyarakat satu hari nanti.
"Kita juga harap penyertaan dan penglibatan Penjara Malaysia (dalam Malaysia #QuranHour) selepas ini, dapat dipanjangkan kepada penghuni-penghuni penjara supaya mereka juga dapat merasai dan mendapat manfaat daripada program ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Penjara Malaysia, Amir Adili Mohd Noor berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan terima kasih ke atas jemputan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dalam penganjuran program Malaysia #QuranHour.
Ulas beliau, ia memberi mesej bahawa institusi penjara dapat memainkan peranan dalam mendekatkan jurang dengan masyarakat umum.
"Ia juga dapat mendidik minda masyarakat supaya mereka tidak merasakan institusi penjara ini terasing daripada dunia yang ada.
"Kita nak masyarakat sedar bahawa Jabatan Penjara Malaysia ini berkeupayaan dalam menjadi salah satu medium kehidupan bersama,” menurutnya.