Murid Tahun 2 maut, ibu parah kemalangan pulang dari sekolah

Iklan
Keadaan kereta dan lori yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 12 Jalan Kuala Selangor-Rawang pada Selasa.

KUALA SELANGOR - Seorang murid Tahun 2 maut, manakala ibunya cedera parah selepas kereta Toyota Vios dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 12 Jalan Kuala Selangor-Rawang di sini pada Selasa.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu menyebabkan mangsa berusia lapan tahun meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Tanjong Karang.

Iklan
Iklan

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintenden Mohd Ambia Nordin berkata, ibu mangsa, 34, dan pemandu lori, 58, mengalami kecederaan parah dan dirawat di zon merah hospital sama.

"Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia pada jam 5 petang dan hasil bedah siasat mendapati kematian berpunca akibat kecederaan parah di kepala," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Mohd Ambia berkata, kejadian berlaku sewaktu dua beranak itu dalam perjalanan pulang dari sebuah sekolah di Bestari Jaya menuju ke rumah mereka di Kuala Selangor.

Menurut beliau, siasatan awal polis mendapati kereta dipandu wanita terbabit hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan semasa melalui selekoh.

Iklan

"Pemandu lori yang berada di laluan bertentangan tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kereta berkenaan," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.