KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini berkata, dakwaan anak lelakinya ditahan di Lapangan Terbang Changi Singapura empat tahun lepas, yang disebarkan oleh penulis blog Papagomo, dinafikan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Guan Eng, 64, berkata, Abdul Hamid pada 14 Mac 2020 telah mengesahkan bahawa berita penangkapan Clint Lim Way Chau kerana membawa masuk RM2 juta ke Singapura tanpa mengisytiharkannya, seperti yang didakwa oleh Papagomo, atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris adalah palsu.
"IGP (Ketua Polis Negara) menafikan anak saya ditahan pihak berkuasa di Singapura. Beliau juga menafikan saya telah pergi ke lapangan terbang di Singapura untuk selamatkan anak saya.
"IGP mengesahkan ia sebagai berita palsu,” kata beliau ketika disoal peguamnya Simon Murali dalam kes saman fitnah yang difailkan kedua-dua beranak itu terhadap Wan Muhammad Azri kerana mendakwa Way Chau membawa masuk RM2 juta ke Singapura tanpa mengisytiharkannya.
Ketika disoal peguam Logen Eskandar Abdullah, yang mewakili Wan Muhammad Azri, Guan Eng berkata, beliau tidak berada di Singapura pada hari kejadian seperti didakwa.
Logen: Kegagalan YB (Yang Berhormat) untuk melampirkan pasport sebagai bukti menunjukkan YB cuba menyembunyikan fakta sebenar bahawa kamu telah pergi ke Singapura pada 29 Feb 2020.
Guan Eng: Ia tidak benar sama sekali Yang Arif. Hal ini kerana pasport saya telah diserahkan kepada mahkamah berhubung kes rasuah saya.
Mereka memfailkan saman terhadap Wan Muhammad Azri pada 15 Oktober 2020.
Ahli Parlimen Bagan yang juga bekas Menteri Kewangan itu mendakwa defendan, yang membuat hantaran di laman Facebook atas nama ‘Papa Azri’ pada 14 Mac 2020, telah menyebarkan penipuan apabila mendakwa beliau pergi ke Singapura selepas anaknya ditahan.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Eddie Yeo Soon Chye bersambung esok. - Bernama