'Pembedahan berjaya tapi kami masih cari dana untuk bayar hospital'

Iklan
Muslihah sudah dipindahkan ke wad selepas pembedahan berjaya dilakukan di Hospital Awam Hana Cheongju, Chungcheongbuk-do, Korea Selatan.

KOTA KINABALU - Pembedahan seorang wanita rakyat Sabah di sebuah hospital di Korea Selatan selepas mengalami pecah pembuluh darah di kepala telah selamat dijalankan pada Isnin.

Bagaimanapun, ahli keluarga Muslihah Ibrahim, 37, masih berusaha mencari dana untuk menampung kos pembedahan dan rawatannya di Hospital Awam Hana Cheongju, Chungcheongbuk-do.

Iklan
Iklan

Menurut adiknya, Jawati, 34, pembedahan itu terpaksa dilakukan segera bagi menyelamatkan kakaknya yang dimasukkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri pada malam Ahad.

"Pembedahan perlu dibuat segera semalam juga kerana mahu mengelak daripada terus berlaku pendarahan dan alhamdulillah, pembedahan berjalan lancar.

Iklan

"Dia mulai sedar dan telah pun ditukarkan ke wad. Kami dibenarkan berjumpa dengannya tadi dan kakak masih kenal saya dengan menyahut 'ya'.

"Keadaanya ketika itu tidak bermaya, cuma dia mulai menunjukkan perubahan yang positif," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Katanya lagi, sehingga kini dana terkumpul hasil sumbangan orang ramai adalah sebanyak RM30,000 selepas berita mengenai Muslihah disiarkan pada Isnin.

"Sejumlah wang RM4,000 juga berjaya dikumpul hasil sumbangan rakyat Malaysia di sini, namun jumlah itu masih belum mencukupi untuk membayar kos pembedahan dan rawatan kakak di hospital.

"Pembayaran untuk pembedahan masih belum dibuat dan kami cuba meminta tempoh daripada pihak hospital untuk mendapatkan baki yang masih diperlukan," katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, dua beradik berasal dari Lahad Datu itu berada di negara berkenaan kira-kira sebulan lalu untuk tujuan melancong.

Bagaimanapun, Muslihah terpaksa dikejar ke hospital besar selepas tidak sedarkan diri dan pihak hospital mengesahkan dia perlu dibedah segera yang mana kos rawatannya boleh mencecah hampir RM100,000.