MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh optimis dengan potensi besar pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk mencabar podium pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Beliau berkata, ia berdasarkan kepada kesungguhan dan semangat juang pelumba berusia 28 tahun itu ketika beraksi di pentas final keirin Sukan Olimpik 2024 di Paris baru-baru ini.
Di sebalik insiden perlanggaran ketika saingan tersebut, Hannah juga melihat keyakinan yang tinggi dipamerkan pelumba dari Johor itu, selain misi yang jelas untuk dicapai pada temasya akan datang.
"Saya berdoa daripada pengalaman ini, Shah Firdaus akan bergerak dengan keyakinan baharu. Dalam dirinya ada keinginan untuk mendapatkan emas.
"Keupayaan untuk melihat garisan penamat adalah satu wawasan yang hebat dan dia boleh menetapkan satu visi yang jelas.
"Semoga Shah Firdaus terus melihat apa yang akan berlaku (empat tahun mendatang) menerusi semangat juang yang hebat,” catat beliau menerusi Facebook.
Shah Firdaus terlibat dalam perlanggaran dengan pelumba Jepun, Shinji Nakano sekali gus menyekat impian podium apabila menamatkan perlumbaan di tangga keempat sebelum diturunkan ke tempat keenam kerana didapati memulakan insiden tersebut.
Hannah turut mengimbas kemahuan Shah Firdaus untuk menebus kekecewaan rakan sepasukan, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang dibatalkan penyertaan dalam acara keirin.
"Dia beritahu saya akan berjuang sehingga ke podium. Pingat gangsa hampir berada di tangannya jika tidak kerana kemalangan itu.
"Saya suka betapa tekunnya dia. Saya sangat bangga Shah Firdaus melangkah untuk menebus kekecewaan pasukannya. Dia melepasi semua jangkaan dengan berlumba sehingga ke pusingan akhir di Paris. Katanya dia boleh nampak garisan penamat, namun sebarang kemungkinan boleh terjadi,” katanya.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan Azizulhasni menyerahkan baton kepada Shah Firdaus untuk meneruskan legasinya di pentas dunia.