RAMALLAH - Hussein Jamil memegang permit bekerja di Israel selama 22 tahun sebelum Perang Gaza tercetus pada 7 Oktober lalu.
Kini, dia enggan kembali lagi ke wilayah itu selepas mempunyai kebun tomato di sebuah perkampungan di Tebing Barat.
"Bekas majikan saya ada menghubungi beberapa kali dan meminta saya kembali bekerja,” katanya di Bayt Dajan berhampiran Nablus.
Menurutnya, terdapat puluhan lagi pemuda Palestin yang senasib dengannya memilih untuk berbudi pada tanah dan tidak lagi mahu melalui proses memenatkan termasuk beratur panjang di pos pemeriksaan demi untuk masuk ke Tel Aviv.
"Kerja sekarang lebih membuahkan hasil dan selamat berbanding di Israel,” kata Jamil yang turut dibantu anak lelakinya.
Difahamkan, Israel tidak lagi mengeluarkan permit kerja kepada penduduk Palestin selepas Operasi Taufan al-Aqsa dilancarkan pejuang Hamas lebih 10 bulan lalu.
Sebelum perang genosid di Gaza bermula, Jamil merupakan salah seorang daripada 200,000 penduduk Palestin di Tebing Barat yang bekerja mengikut saluran yang sah.
Data Bank Dunia menunjukkan bayaran gaji di Tel Aviv adalah lebih dua kali ganda berbanding yang boleh diperoleh di wilayah Palestin menyebabkan golongan itu sanggup bekerja di sana.
Kini, situasi telah berubah kerana ramai yang sibuk dengan hasil tanaman masing-masing di kawasan pertanian yang pernah menjadi tempat nenek moyang mereka menanam gandum.
"Kerja seperti ini lebih bebas dan tenang. Persekitarannya jauh lebih baik daripada bekerja di Israel,” ujar Jamil lagi.
Bagi Mazen Abu Jaish, 43, yang 'bergelumang' selama 10 tahun untuk mencari rezeki di Israel, dia mengambil masa agak lama memikirkan idea untuk menjadi pekebun tomato.
"Pada mulanya, saya menunggu jika ada peluang untuk kembali semula ke sana selepas perang berakhir. Tetapi, peperangan itu berlarutan terlalu lama dan tidak seperti konflik sebelum ini yang hanya berlaku selama beberapa minggu.
"Jadi, saya bersama 35 penduduk yang lain membuat keputusan untuk bercucuk tanam,” jelas Jaish.
Sejak lebih 10 bulan lalu, kawasan seluas 15 hektar di Bayt Dajan kini menjadi kebun sayur yang diusahakan bekas kumpulan pekerja di Tel Aviv.
Ahli majlis perbandaran, Mohammad Ridwan turut melihat kelebihan lain kebun tersebut kerana ia berada di Kawasan C, Tebing Barat yang dikawal sepenuhnya Israel dan berisiko dirampas rejim Tel Aviv untuk projek pembinaan penempatan haram Yahudi.
Kawasan C meliputi 59 peratus bahagian di Tebing Barat dan 63 peratus daripadanya ialah kawasan pertanian.
Laporan Majlis Pelarian Norway sebelum ini mendedahkan Israel menafikan akses penduduk Palestin kepada 88 peratus tanah di Kawasan C yang mana kebanyakan kes menghalang golongan itu memperluaskan ladang pertanian mereka.
"Penduduk tempatan sudah mendapat 'kerja' baharu. Sedikit sebanyak mereka turut memelihara tanah di Kawasan C,” menurut Ridwan. - AFP
INFO
> Prospek ekonomi semakin merosot sejak Perang Gaza bermula. Kadar pengangguran di Tebing Barat melonjak daripada 12.9 kepada 32 peratus pada tiga bulan terakhir 2023.
> Kira-kira 144,000 hilang pekerjaan susulan peningkatan keganasan di Ramallah yang telah menyebabkan rejim Zionis melakukan sekatan di jalan raya hingga menjerut ekonomi.
> Menurut anggaran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), kira-kira AS$22 juta (RM98 juta) hasil pendapatan 'hilang' di Tebing Barat pada setiap hari.
> Di Bayt Dajan sahaja, kira-kira 300-350 lelaki daripada 5,000 populasi bekerja di Israel sebelum ini.