Ibu bapa cuai wajar dihukum dengan berat

Iklan
Tangkap layar video tular seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun memandu kereta di sebuah taman perumahan di Puchong, Selangor.

BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan kes seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun memandu kereta di sebuah taman perumahan di Puchong, Selangor.

Dalam kereta itu ada dua lagi kanak-kanak dipercayai adiknya berusia empat dan enam tahun.

Iklan
Iklan

Gelagat kanak-kanak itu menarik perhatian seorang wanita yang kemudian mengarahkannya memberhentikan kereta sekali gus rakaman video menjadi tular.

Tindakan wanita yang prihatin itu wajar dipuji dan kita memerlukan lebih ramai warganegara cakna sepertinya untuk mengekang lebih banyak bahaya jika terus membiarkan kanak-kanak memandu dan melanggar undang-undang.

Iklan

Satu hal yang menarik perhatian penulis, ketika disoal oleh wanita tersebut, kanak-kanak itu menjawab setiap pertanyaan dengan penuh yakin malah memberitahu bahawa wanita berkenaan boleh berjumpa dengan bapanya jika mahu.

Daripada pengamatan penulis, berdasarkan percakapan kanak-kanak tersebut, bapanya mengetahui atau membenarkan dia memandu kereta.

Iklan

Kejadian memandu itu juga dikatakan bukan pertama kali berlaku dan bapa kanak-kanak tersebut sepatutnya tahu kesalahan yang dilakukan dengan membiarkan anak-anak di bawah umur memandu.

Kelakuan ini bukan sahaja boleh mengundang bahaya kepada nyawa kanak-kanak itu sendiri malah orang awam yang lain di sekelilingnya.

Wajarlah pendakwaan dilakukan seperti di Mahkamah Majistret, Sepang pada Rabu lalu.

Dalam hal ini, penulis sangat bersetuju terhadap penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan yang dilaksanakan secara tegas terhadap pelaku yang masih di usia kanak-kanak.

Hal ini penting bagi menyampaikan mesej kepada masyarakat supaya tidak memandang enteng kesalahan memandu di bawah umur.

Tetapi tidak boleh dilupakan, kanak-kanak ini masih di bawah jagaan penjaga iaitu ibu bapanya.

Sekali gus, mereka ini adalah orang yang bertanggungjawab terhadap apa-apa perlakuan anak-anak di bawah umur.

Dalam kes ini, bapa kanak-kanak tersebut iaitu seorang penjual karpet warga Pakistan turut didakwa di Mahkamah Sesyen sama atas pertuduhan mengabaikan dan bertindak secara cuai yang mungkin mendedahkan anak lelakinya itu kepada kecederaan fizikal.

Sudah tiba masanya, tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak ini dilaksanakan secara mandatori dan kerap serta tidak memilih kes-kes tertentu sahaja bagi meningkatkan kesedaran awam.

Bermaksud, bukan kanak-kanak itu sahaja yang boleh disaman dan didakwa bahkan ibu atau bapa atau penjaga mereka sekali secara automatik berdepan tindakan sama.

Penguatkuasaan di lapangan juga perlu dilakukan menyeluruh contohnya pemeriksaan ke atas kanak-kanak dan remaja tiada lesen yang menunggang motosikal ke sekolah atau di kampung-kampung.

Ada segelintir ibu bapa yang sememangnya tidak takut memberikan atau dalam keadaan sedar seolah-olah lupa undang-undang dengan membenarkan anak-anak mereka yang masih di bawah umur memandu kereta atau menunggang motosikal.

Isu ini perlu perhatian segera dan kempen-kempen kesedaran perlu dipergiatkan terutama di peringkat sekolah rendah kerana kita tidak mahu mengundang bermacam-macam bahaya kemudian hari.

Belum pun reda kisah itu, berlaku pula tragedi menyayat hati melibatkan seorang bayi perempuan berusia 15 bulan lemas dalam tali air di Kampung Tok Belian, Pengkalan Petah, Bachok pada Jumaat.

Siasatan mendapati seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun membawa lima lagi kanak-kanak menaiki sebuah motosikal roda tiga jenis Suzuki RC110S menghala ke rumah melalui jambatan Kampung Tok Belian.

Motosikal roda tiga itu hilang kawalan menyebabkan mangsa yang dipercayai dipegang oleh abang kandungnya berusia lapan tahun tercampak ke dalam tali air.

* Adila Sharinni Wahid ialah wartawan Sinar Harian Kelantan