Amerika lulus pakej bekalan senjata AS$20 bilion kepada Israel

Iklan
Amerika Syarikat telah meluluskan penjualan senjata bernilai AS$20 bilion kepada sekutunya, Israel termasuk beberapa jet pejuang dan peluru berpandu udara ke udara canggih.

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) telah meluluskan penjualan senjata bernilai AS$20 bilion kepada sekutunya, Israel termasuk beberapa jet pejuang dan peluru berpandu udara ke udara canggih, umum Jabatan Negara pada Selasa.

Kongres telah dimaklumkan tentang penjualan tersebut termasuk lebih daripada 50 jet pejuang F-15, peluru berpandu udara ke udara jarak sederhana termaju (AMRAAM), peluru tangki 120 mm dan mortar letupan tinggi dan kenderaan taktikal.

Iklan
Iklan

Kelulusan itu dibuat ketika situasi semakin meruncing kerana terdapat kebimbangan Israel mungkin terlibat dalam perang yang lebih meluas di Asia Barat.

Bagaimanapun, senjata-senjata itu tidak dijangka akan sampai ke Israel dalam masa terdekat kerana ia merupakan kontrak yang akan mengambil masa bertahun-tahun untuk dipenuhi.

Iklan

Sebahagian besar daripada apa yang dijual adalah untuk membantu Israel meningkatkan keupayaan ketenteraannya dalam jangka masa panjang.

"Amerika Syarikat komited terhadap keselamatan Israel, dan adalah penting bagi kepentingan negara AS untuk membantu Israel membangun dan mengekalkan keupayaan pertahanan diri yang kuat dan bersedia. Penjualan yang dicadangkan ini konsisten dengan objektif tersebut,” kata Jabatan Negara dalam satu kenyataan mengenai penjualan itu.

Iklan

Pentadbiran Presiden AS, Joe Biden terpaksa mengimbangi sokongan berterusannya kepada Israel dengan semakin banyak gesaan daripada penggubal undang-undang dan orang awam AS untuk mengekang sokongan ketenteraan di sana berikutan jumlah kematian orang awam yang tinggi di Gaza.

Ia telah mengekang satu penghantaran senjata seberat 2,000 paun di tengah-tengah serangan udara berterusan oleh Israel di kawasan awam yang padat penduduk di Gaza. - Awani