SHAH ALAM - UMNO perlu terus membantah dengan keras dan melarang proses mencetak serta mengedar komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang dihasilkan oleh bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau.
Ia susulan, pembatalan Perintah Larangan terhadap penerbitan tersebut oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, komik tersebut dengan jelas mengangungkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng.
Menurutnya, kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian untuk meneruskan larangan penerbitan komik tersebut.
"Rakyat kecewa keputusan KDN batal larangan mencetak dan mengedar komik milik Superman Hew ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan pada 8 Disember 2022. UMNO wajib membantah keras.
"Ia jarum halus sebar komunisme. Kerajaan wajib cari jalan supaya larangan itu diteruskan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Pada 8 Disember 2022, kerajaan Persekutuan gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan semula larangan ke atas penerbitan komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang dihasilkan oleh Kuan Yau.
Susulan itu, KDN membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berkenaan yang sebelum ini diwartakan pada 2019 kerana kandungannya dikhuatiri boleh memudaratkan ketenteraman awam.
Mengulas lanjut, menurut Mohd Puad, ideologi komunis bukan sahaja menolak kemerdekaan Malaysia, malah mereka turut mengancam kestabilan negara.
Tambah beliau, walaupun perjanjian damai antara kerajaan dan pihak komunis telah berlaku, namun ia tidak bermakna fahaman tersebut akan berakhir.
"Selepas negara merdeka komunis terus berjuang dalam hutan menentang kerajaan yang sah dan dipilih rakyat. Ideologi komunis menolak Raja Raja Melayu. Ia mengancam kestabilan negara.
"Perjanjian damai bukan bermakna ancaman fahaman komunis yang anti Raja Raja Melayu berakhir,” katanya.