BAITULMAQDIS - Seorang menteri kanan Israel telah mengetuai lebih 2,000 rakyatnya memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa, pada pagi Selasa, sekali gus melanggar larangan lama kerajaan Israel yang mencegah orang Yahudi melakukan sebarang ibadah mereka di sana.
Lawatan oleh Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir, ke pekarangan Masjid Al-Aqsa yang dikenali oleh Yahudi sebagai Bukit Kuil telah dikecam sebagai provokasi oleh pemimpin Palestin serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) dan beberapa negara Arab lain.
Dalam sebuah video yang dirakamkan, Ben-Gvir turut menegaskan,"dasar kami adalah untuk membolehkan orang Yahudi sembahyang di situ (Al-Aqsa)."
Bagaimanapun, pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelaskan, insiden itu telah 'menyimpang dari status quo' yang hanya membenarkan umat Islam beribadah di situ.
"Dasar Israel tidak berubah; begitulah keadaannya dan begitulah ia akan kekal," tegasnya.
Sebagai tindak balas kepada kenyataan itu, Ben Gvir berkata, ia adalah dasar beliau sendiri untuk membolehkan kebebasan beribadah untuk orang Yahudi di semua tempat.
"Tiada undang-undang yang membenarkan diskriminasi perkauman terhadap orang Yahudi di Bukit Kuil atau di mana-mana tempat lain di Israel," tambahnya.
Al-Aqsa merupakan masjid ketiga paling suci buat umat Islam.
Kawasan tersebut juga dianggap adalah tempat paling suci bagi penganut Yahudi.
Terletak di Jerusalem Timur yang diduduki, kawasan tersebut ditawan oleh Israel daripada Jordan dalam perang Timur Tengah pada tahun 1967.
Berdasarkan status quo, Jordan dibenarkan meneruskan peranan sejarahnya sebagai penjaga kawasan tersebut, manakala Israel mengambil alih kawalan keselamatan dan akses.
Penduduk Palestin menuduh Israel mengambil langkah-langkah untuk melemahkan pengaturan ini dan mengadu bahawa dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pengunjung Yahudi sering dilihat bersembahyang tanpa dihentikan oleh polis Israel.
Video yang dikongsi di media sosial pada Selasa menunjukkan kumpulan rakyat Israel Yahudi menyanyikan lagu kebangsaan Israel, ada yang membawa bendera Israel manakala yang lain sujud dalam sembahyang di pinggir kawasan suci itu.
Semasa melawat kawasan tersebut dengan diiringi polis Israel, Itamar Ben Gvir mendakwa,"pelbagai kemajuan besar" telah dicapai dalam"pentadbiran dan kedaulatan" Israel di situ.
Beliau juga mengisytiharkan bahawa Israel"mesti memenangi perang" di Gaza dan tidak sepatutnya terlibat dalam rundingan mengenai gencatan senjata dan pembebasan tebusan untuk"melumpuhkan Hamas."
Bagaimanapun, Kementerian Luar Negeri Palestin menyatakan kebimbangan yang besar terhadap apa yang dipanggilnya sebagai"peningkatan berbahaya akibat serbuan oleh golongan ekstremis di Masjid al-Aqsa."
"Kementerian akan meneruskan usaha politiknya untuk menangani provokasi ini di pelbagai peringkat, memberi amaran tentang akibat seriusnya terhadap arena konflik dan wilayah secara keseluruhan," kata satu kenyataan.
Sementara itu, Jabatan Wakaf Islam yang mentadbir kawasan tersebut itu berkata lebih daripada 2,000 orang Israel telah memasuki kawasan itu dan merayu kepada umat Islam di seluruh dunia untuk membantu mengekalkan status quo.
Kementerian Luar Jordan berkata, insiden itu mencerminkan"kesungguhan kerajaan Israel dan anggota ekstremisnya untuk melanggar undang-undang antarabangsa dan kewajipan Israel sebagai kuasa pendudukan."
Mesir dan Arab Saudi juga berkata, insiden itu melanggar undang-undang antarabangsa, dengan Mesir menambah bahawa Ben Gvir sedang berusaha untuk menggagalkan usaha untuk menengahi perjanjian gencatan senjata Gaza.
Dalam perkembangan sama, jurucakap PBB, Farhan Haq menyifatkan insiden itu sebagai"tidak membantu dan sangat provokatif", sambil menambah:"Kami menentang sebarang usaha untuk mengubah status quo di tapak-tapak suci."
Jurucakap Jabatan Negara AS, Vedant Patel pula, memberitahu wartawan:"Sebarang tindakan unilateral seperti ini yang menjejaskan status quo adalah tidak boleh diterima. Bukan sahaja ia tidak boleh diterima, ia juga mengalih perhatian daripada apa yang kami anggap sebagai masa yang penting, kerana kami sedang berusaha untuk menyelesaikan perjanjian gencatan senjata." - Agensi